Anggota bomba turut menaiki kapal ikan awam dalam pencarian awal mangsa yang hilang ketika cuba menyeberangi sungai. - Gambar JBPM
KUCHING: Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika keluar mencari siput di Kampung Terusan Jaya, Sematan, hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.50 petang memaklumkan seorang lelaki dikenali Mohamad Nazratul Kamil, 26, hilang di sungai.
Susulan panggilan itu satu pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dikerah ke lokasi kejadian.
Setiba di situ jam 4.25 petang, komander operasi dimaklumkan oleh dua saksi di tempat kejadian bahawa mangsa memakai baju berwarna oren, berseluar jeans pendek, dipercayai membawa hasil sungai diperolehinya, hilang dibawa arus air pasang ketika berenang menyeberangi sungai.
"Kejadian itu dikatakan berlaku jam 2.10 petang. Hasil maklumat awal diperoleh, pencarian awal dilakukan di tebing sungai.
"Pencarian awal turut melibatkan penduduk kampung yang menggunakan bot awam.
“Dikuti pencarian menggunakan sebuah bot penyelamat jam 5.20 petang dan sebuah kapal ikan awam yang turut dinaiki tiga anggota bomba," jelasnya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun ketika berita ini ditulis, mangsa masih belum dijumpai.
|