PERIKSA: Anggota Jabatan Imigresen Sabah menjalankan pemeriksaan dalam operasi penguatkuasaan di Beaufort dan Sipitang. Gambar ihsan JIM Negeri Sabah
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 64 pendatang tanpa izin (PTI) dalam satu operasi penguatkuasaan membabitkan empat kawasan termasuk satu di Beaufort dan tiga kawasan di Sipitang.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Sh Saleha Habib Yussof berkata, operasi terbabit dijalankan hari ini bermula jam 12 tengah malam hingga 6.50 pagi.
Menurutnya, empat kawasan yang diserbu termasuk tapak pembinaan Taman Wawasan Beaufort, Valley Hunters Estate, Kampung Pasir Putih dan Tanjung Pagar di Sipitang.
"Seramai 215 orang diperiksa sepanjang operasi ini dan daripada jumlah itu, seramai 64 PTI ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan satu bulan hingga 79 tahun terdiri daripada 18 lelaki, 17 perempuan dan 29 kanak-kanak," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, semua PTI yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan dan tindakan susulan.
Katanya, semasa operasi dijalankan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dari anggota JIM namun keadaan berjaya dikawal tanpa ada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Sehingga 21 Oktober 2024, sebanyak 1,275 operasi penguatkuasaan dijalankan JIM Negeri Sabah melibatkan pemeriksaan seramai 25,422 individu, manakala seramai 4,811 orang ditahan dan 37 majikan didakwa.
"Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara," jelasnya.
Menurutnya, undang-undang berkenaan seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
|