DR. KASSIM
KOTA KINABALU: Langkah Kerajaan MADANI menambah peruntukan untuk badan penguatkuasaan patut disokong.
Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, cabaran yang dihadapi badan penguatkuasaan terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa ini sangat tinggi.
Katanya, jenayah rasuah yang canggih masa kini memerlukan sumber kewangan yang banyak dalam usaha menanganinya.
“SPRM memerlukan peruntukan yang banyak bagi menangani isu rasuah besar dan juga ketirisan kewangan.
“Tanggungjawab SPRM amat besar dan kejayaan badan itu menangani isu rasuah boleh dibanggakan,” katanya ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan peruntukan untuk SPRM ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas.
Namun katanya, SPRM juga perlu mendapat lebih lagi sokongan dan bantuan kewangan bagi memperkasakan profesionalisme pegawai-pegawai mereka yang menangani jenayah penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang semakin sofistikated dan juga amat sukar disiasat.
Justeru, Dr. Kassim berkata, penambahan peruntukan kepada SPRM daripada RM338 juta kepada RM360 juta patut dialu-alukan.
Walaupun begitu, katanya, ini hanya satu permulaan, bukan satu pengakhiran.
“Kalau kita lihat, banyak jenayah bukan saja rasuah, malah jenayah terancang ataupun organized crimes kini amat canggih dalam percubaan mereka untuk mengelak dikesan oleh penguat kuasa undang-undang,” katanya.
|