Polis lepas tembakan hentikan kereta, tahan suspek kes curi kabel TNB
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Oktober 26, 2024 @ 1:06am [email protected]
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. - NSTP /ZUHAINY ZULKIFFLI
GEORGETOWN: Polis terpaksa melepaskan sekurang-kurang dua das tembakan bagi menghentikan sebuah kenderaan dinaiki seorang lelaki disyaki berkait kes curi kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB), di Jalan Kelawai, di sini, semalam.
Tembakan dipercayai dilepaskan selepas suspek itu bertindak agresif dengan memandu merempuh kenderaan lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, polis melepaskan tembakan ke arah tayar bahagian hadapan kenderaan suspek yang terus bergerak walaupun diarahkan berhenti. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, berkata kejadian berlaku ketika suspek berusia 32 tahun itu disyaki sedang merancang untuk mencuri kabel di Bilik Pencawang TNB berhampiran Plaza Gurney, di sini.
Sebaik saja diminta berhenti untuk pemeriksaan, beliau berkata, suspek didakwa memandu kereta secara berbahaya termasuk merempuh beberapa kenderaan lain dalam usaha melarikan diri.
"Bagaimanapun, selepas tembakan dilepaskan di bahagian tayar hadapan, kereta jenis Honda Civic itu terhenti kira-kira 200 meter (m) dari lokasi kejadian.
"Suspek kemudian keluar dari kereta dan melarikan diri sejauh kira-kira 500m sebelum berjaya diberkas polis di Solok Midlands, di sini," katanya.
Mengulas lanjut, Swee Sake berkata, suspek disyaki adalah individu sama terbabit dalam satu kes curi kabel TNB yang dilaporkan berlaku pada Rabu lalu.
"Anggota polis berada di lokasi bagi menjalankan siasatan sebelum menyedari kehadiran suspek.
"Turut dirampas ialah beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi kegiatan mencuri kabel, di dalam kereta suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1316002/polis-lepas-tembakan-hentikan-kereta-tahan-suspek-kes-curi-kabel-tnb
|