Ariffin (empat kanan) bersama wakil-wakil persatuan menari semasa sesi bermukun Malam Gabungan Seni Budaya Melayu, Melanau dan Jatti Miriek di Miri malam Ahad.
MIRI: Tiga persatuan kaum di sini bekerjasama mengendalikan Malam Gabungan Seni Budaya Melayu, Melanau dan Jatti Miriek bagi memeriahkan Karnival Kebudayaan Taste Of Borneo (TOB) 3.0 di parkir sebuah pusat beli-belah di sini malam Ahad.
Persatuan terlibat ialah Persatuan Melayu Miri, Persatuan Melanau Miri dan Persatuan Jatti Miriek Miri.
Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Kaunselor Ariffin Mohamad dalam ucapan perasmiannya berkata majlis itu memartabatkan dan menonjolkan kekayaan seni dan budaya masyarakat Melayu, Melanau dan Jati Miriek.
Katanya, mereka masing-masing mempunyai kualiti unik yang merupakan sebahagian daripada warisan dan kebanggaan penduduk di sini.
"Budaya Melayu dengan tarian anggun dan muzik indah, sementara kaum Melanau dengan adat resam dan kesenian menawan. Kaum Jatti Miriek dengan keunikan tradisi mereka tersendiri.
"Semua ini adalah khazanah mesti dipelihara, dihargai dan diturunkan kepada generasi akan datang," katanya.
Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia mempunyai latar belakang etnik pelbagai seharusnya kita semua menghargai keindahan dan keunikan setiap budaya.
Acara malam itu bukan sahaja memberi peluang mendapatkan pemahaman lebih mendalam tentang budaya lain, tetapi juga membantu mengukuhkan budaya ikatan persaudaraan dan perpaduan sesama penduduk terlibat.
Tentang TOB, karnival itu berjaya mengumpulkan pelbagai etnik berbilang bahasa dan budaya di bawah satu payung dengan penyertaan 20 persatuan kaum dan etnik di sini.
"Program ini adalah satu usaha murni memupuk semangat perpaduan dan cinta warisan budaya diwarisi turun-temurun agar tidak dilupakan oleh generasi muda," jelasnya.
Hadir sama Presiden Persatuan Melanau Miri merangkap pengerusi pengelola Abdullah Jaini, Presiden Persatuan Melayu Miri Radzali Alision, wakil Presiden Persatuan Jatti Miriek Ujut Rahman, pengerusi penganjur TOB Harry Lee dan pengerusi penganjur bersama yang juga Presiden Persatuan Cina Sarawak Ting Pang Soon.
|