Ding mengadakan lawatan kerja ke ladang padi diusahakan Onemas Agriculture Sdn Bhd di Sungai Padi Bintangor.
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing melahirkan penghargaan dan rasa bangga kerana Onemas Agriculture Sdn Bhd yang berpangkalan di Meradong berjaya menghasilkan varieti padi baharu di kawasan Sungai Padi Bintangor.
Katanya, ini merupakan satu pencapaian dan prestasi yang baik kepada industri penanaman padi di kawasan ini.
"Varieti padi baharu ini mengambil masa kira-kira 30 hari untuk menyemai anak benih di ladang anak benih.
"Setelah itu proses pemindahan ke sawah padi dilakukan dan dalam tempoh 100 hari, padi tersebut akan berbuah matang dan proses menuai akan dilakukan.
"Kejayaan projek penanaman padi hibrid adalah sangat penting bagi membolehkan kewujudan tapak baharu tanaman itu sekali gus memberi peluang ekonomi kepada penduduk tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Simbolik Ringkas Penyerahan Beras Onemas kepada penduduk setempat oleh Onemas Agriculture Sdn Bhd di sini hari ini.
Menurutnya, projek tersebut berjaya dan dipercayai mampu membawa banyak manfaat ekonomi kepada daerah Meradong pada masa akan datang.
"Kegigihan Onemas Agriculture Sdn Bhd mengambil pelbagai pendekatan dan langkah mengembangkan usaha penanaman padi di kawasan ini adalah satu langkah baik.
"Pada masa sama, kita berharap kementerian berkaitan akan mempertimbang untuk membuka semula ladang mini atau ladang padi di Sungai Tulai ini," jelasnya.
Pada majlis itu, terdapat empat kawasan menerima agihan beras Onemas iaitu Kedai Kopi Sungai Padi Bintangor, Rumah Junis, Sungai Kelupu, Rumah Dangat dan Rumah Temaga, Sungai Kawi.
Hadir sama Penolong Pegawai Pertanian Daerah Meradong Pulin Inchan dan Pengerusi Eksekutif Onemas Agriculture Sdn Bhd Stephen Sia.
|