Keadaan kereta dinaiki kesemua mangsa yang terjunam ke dalam gaung berhampiran Lapangan Terbang Bintulu di Jalan Tatau-Bintulu awal pagi tadi.
BINTULU: Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam insiden kereta jatuh gaung selepas terlibat kemalangan yang berlaku berhampiran Lapangan Terbang Bintulu di Jalan Tatau-Bintulu awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, maklumat awal yang diterima berkata mangsa yang dikenali sebagai Talie Ganin disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.
"Tiga lagi mangsa yang berumur 14 hingga 50 tahun yang mengalami kecederaan dengan seorang daripada mereka patah kedua-dua belah kaki bagaimanapun berjaya dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam sebelum diberikan bantuan awal oleh pasukan perubatan," ujarnya.
Menurut Wan Kamarudin, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) BIN bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden sekitar jam 2.33 pagi.
Sampai di lokasi katanya, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah kereta telah terjunam ke dalam gaung.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak membawa kesemua mangsa ke lokasi selamat dengan memberikan rawatan awal bagi menstabilkan mangsa.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dihantar Unit Ambulans ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
|