Rosey (lima kiri) bersama tetamu lain pada Pesta Makan Tahun Kedayan Lawas di Pusat Khidmat Mini Ulu Merapok, baru-baru ini.
LAWAS: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berharap isu kekasaran seorang penjawat awam di Lawas ketika melayan seorang warga emas baru-baru ini tidak berulang.
Katanya, kementeriannya bertanggungjawab untuk memberi maklum balas berhubung insiden itu agar perkara itu tidak akan berulang lagi.
Beliau berkata, semua kakitangannya hendaklah menerapkan semangat suka membantu dan menjalankan amanah sebaiknya dengan penuh adab dan kasih sayang.
“Dalam kementerian kita, perinsanan itu penting dan peranan kita dalam kementerian adalah untuk membantu seboleh-bolehnya setakat mana kita dapat membantu.
“Sebenarnya kita mengharapkan perasaan membantu ini dapat diterapkan kepada setiap lapisan petugas kita, apapun kita berterima kasih atas maklum balas yang sedemikian, kita dapat membaiki kesilapan agar tidak berulang,” katanya.
Rosey berkata demikian ketika ditemui media bagi mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penangguhan Pesta Makan Tahun Kedayan Lawas di Pusat Khidmat Mini Ulu Merapok, baru-baru ini.
Baru-baru ini, seorang wanita mendakwa seorang petugas kerajaan telah mengasari ayahnya ketika berurusan di kaunter jabatan kerajaan berkenaan.
Insiden tersebut tular dalam laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Dalam pada itu katanya, pembukuan warisan khazanah masyarakat Kedayan yang kaya dengan jampi mentera dalam segala aspek kehidupan perlu dilakukan agar tidak hilang ditelan zaman.
Ribuan pengunjung daripada kaum Kedayan dari Bekenu, Miri, Limbang, Lawas, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Brunei memeriahkan Pesta Makan Tahun Kedayan Lawas.
|