Pembuatannya mendapat sambutan usahawan Iban kerana mendapat banyak tempahan
Thomas menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta yang mengambil bahagian dalam kursus pembuatan sugu tinggi di Bintulu.
BINTULU: Seni pembuatan perhiasan kepala wanita kaum Iban, sugu tinggi dijangka dapat menjana pendapatan lumayan serta memberangsangkan kepada setiap pengusahanya.
Wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Thomas Nyaring berkata pembuatan sugu tinggi kini semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan komuniti Dayak Iban kerana mendapat tempahan cukup banyak saban hari.
"Ini kerana sugu tinggi merupakan antara perhiasan tradisional terpenting wanita Iban dalam perayaan Gawai Dayak, pertandingan kumang dan pelbagai acara tradisi kaum berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kursus Pembuatan Kraf Tangan Sugu Tinggi Iban di Dewan Serba Guna Sungai Plan Lot Bintulu di sini.
Menurutnya, kursus dikendalikan Mitz Agency dengan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga tempatan yang ingin mempelajari seni pembuatan perhiasan kepala wanita Iban itu.
Beliu percaya setiap peserta mahupun penganjur mempunyai objektif masing-masing, bagaimanapun tujuan akhirnya adalah pasti sama bagi merealisasikan minat dan mengecapi kejayaan disasarkan di samping menceburi bidang industri kraf tangan termasuk pembuatan sugu tinggi.
"Sehubungan itu, menyertai kursus seumpama ini bukanlah satu perkara mudah kerana memerlukan komitmen tinggi," jelasnya.
Hakikatnya, peserta mahupun penganjur bukan sahaja terpaksa bekorban masa dan tugas hakiki masing-masing malah menyertainya turut memerlukan perbelanjaan mencukupi.
Dalam perkembangan berkaitan, Thomas turut mengumumkan penyampian sumbangan sejumlah RM10,000 kepada Mitz Agency bagi membolehkan mereka meneruskan kursus mengajar pembuatan sugu tinggi pada masa akan datang.
|