Abang Johari tiba di DUN bagi membentangkan Belanjawan Negeri 2025 (Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan DUN hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Sarawak dijangka mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM14.2 bilion pada 2025 sekali gus menjadi rekod tertinggi pernah dicatatkan negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, anggaran hasil negeri diperoleh daripada pelbagai sumber utama termasuk hasil cukai berjumlah RM6.2 bilion atau 44 peratus daripada jumlah hasil yang dijangka pada 2025.
“Ini juga merangkumi RM5.1 bilion daripada cukai jualan negeri yang mana RM4.1 bilion hasil minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain; RM820 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit mentah.
“Sementara, RM75 juta daripada loteri, RM60 juta hasil produk aluminium, RM29 juta daripada produk kayu serta baki RM6 juta daripada arang batu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 (Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Dari segi royalti, Abang Johari berkata, sebanyak RM620 juta adalah daripada air mentah; RM100 juta pula royalti hutan, kayu premium dan tarif serta RM422 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain.
Kata Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu itu, hasil bukan cukai pula dianggarkan sebanyak RM7 bilion atau 49 peratus.
“Ini terutamanya diperolehi daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas iaitu sebanyak RM2.7 bilion; pendapatan dividen (RM2.9 bilion); pendapatan faedah (RM853 juta); premium tanah (RM400 juta).
“RM120 juta lagi adalah daripada pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum serta RM26 juta hasil lain-lain termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewa,” jelas beliau.
Sumber lain kata Abang Johari, termasuk penerimaan bukan hasil yang dijangka sebanyak RM32 juta terutama daripada deposit tidak dituntut, lebihan bayaran diperoleh semula dan pelupusan kenderaan yang dijangka mencecah RM937 juta.
Sumbangan hasil daripada sumber ini meningkat berikutan keputusan kerajaan persekutuan untuk menaikkan kadar Geran Khas Sementara untuk Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta berkuat kuasa tahun depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, dengan anggaran hasil sebanyak RM14.2 bilion dan jumlah perbelanjaan sebanyak RM13.7 bilion, Belanjawan Negeri 2025 dijangka mencatatkan lebihan sebanyak RM486 juta.
“Belanjawan Negeri 2025 sememangnya mencatatkan bajet terbesar dalam sejarah Sarawak, mencerminkan kejayaan strategi penstrukturan semula hasil dan pengurusan kewangan yang berhemah.
“Melalui belanjawan pengembangan ini, kita membuat pelaburan besar dalam infrastruktur yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan utama kita,” katanya.
|