Dr Sim (empat kanan) menerima replika cek daripada Hamid (tiga kanan) pada majlis ringkas tetapi penuh bermakna di DUN semalam.
KUCHING: Sarawak Petroleum Berhad (PETROS) menyumbang RM1.6 juta kepada Yayasan Jantung Sarawak (SHF) bagi menaik taraf sistem angiografi radiologi Hospital Bintulu kepada keupayaan angiografi kardiologi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata dengan sumbangan itu sasaran untuk mengumpul RM2.2 juta diperlukan akhirnya berjaya dicapai.
"Dengan naik taraf ini, Hospital Bintulu akan menjadi hospital awam kedua di Sarawak, selain Pusat Jantung Sarawak (di Kota Samarahan), mempunyai kemudahan prosedur perkutaneus, terutama (bagi mereka) yang mengalami serangan jantung akut," kata Dr Sim.
Penyampaian cek itu diadakan di pejabat Dr Sim di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini semalam.
Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo telah menyampaikan cek sumbangan itu kepada Dr Sim yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Jantung Sarawak.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETROS Dato Janin Girie, Ketua Perhubungan Luar PETROS Sally Sheriza Ahmad, Ketua Pejabat CEO Kumpulan PETROS Andrea Jok, Naib Presiden Kanan Modal Insan dan Perhubungan PETROS Ismail Said, Ketua Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak Datuk Amar Jamilah Anu dan ahli Lembaga Pemegang Amanah lain Dato Anne Teng dan Pauline Kon.
Selain delegasi PETROS dan Yayasan Jantung Sarawak turut melakukan kunjungan hormat terhadap Dr Sim ialah wakil Pejabat Transformasi Kesihatan dan Bahagian Pendigitalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Kuala Lumpur, pelajar dan guru Sekolah Menengah Chung Hua No 3 dan ketua masyarakat dan ketua kaum dari Miri.
Dr Sim berkata sesi DUN yang berlangsung ketika ini tidak seharusnya menghalang ahli-ahli dewan melaksanakan tugas lain seperti mengadakan pertemuan dengan rakyat.
"Walaupun pada masa baik dan tidak baik, YB menteri seperti kami akan cuba sedaya upaya berada di DUN, kerana ada Rang Undang-Undang (undang-undang baharu atau pindaan), usul menteri dan lain-lain dibahaskan.
"Aktiviti biasa, mesyuarat antara lain masih diteruskan kerana semua menteri ada pejabat di DUN yang hanya digunakan selama empat minggu dalam masa setahun untuk sesi ini," ujarnya.
|