Edited by sfhzuraz at 14-11-2024 04:28 PM
Wan Rohaimi dilantik Ketua Jurulatih Penang FC baharu
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
14 November 2024 03:33pm
Daniel Gooi (dua dari kanan) menyerahkan surat pelantikan kepada Wan Rohaimi (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.
PENANG FC mengumumkan pelantikan Wan Rohaimi Wan Ismail sebagai Ketua Jurulatih Penang FC yang baharu bagi menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan sejak beberapa minggu lalu.
Wan Rohaimi yang berusia 48 tahun akan memulakan tugasnya serta-merta bagi mempersiapkan pasukan Harimau Kumbang untuk menghadapi baki perlawanan hingga hujung musim Liga Super 2024/2025.
Tugas pertama beliau adalah pada 21 November ini untuk memastikan pasukannya beraksi cemerlang menentang Kuching City dalam saingan Piala Malaysia.
Pengerusi Penang FC, Daniel Gooi Zi Sen berkata, Wan Rohaimi merupakan bekas Penolong Ketua Jurulatih KL City FC merupakan jurulatih berpengalaman dalam arena bola sepak Malaysia.
Menurutnya, Wan Rohaimi pernah beraksi sebagai pemain profesional selama lebih 15 tahun, mewakili pelbagai kelab utama di Malaysia dan meraih lebih 40 cap kebangsaan.
"Kita berharap dengan pelantikan ini akan membawa Penang FC ke tahap lebih tinggi dengan pendekatan strategik dan visi yang segar.
"Di bawah kepimpinan Wan Rohaimi, Penang FC dijangka mengaplikasikan gaya permainan yang mengutamakan penguasaan bola.
"Beliau terkenal dengan pendekatan yang membentuk pemain berfikir dan mengutamakan kecergasan fizikal, seiring dengan matlamat untuk menghasilkan pasukan yang kuat dan berdaya saing," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.
Turut hadir, Pengurus Besar Penang FC Jeffrey Chew dan Pengarah Teknikal Penang FC, Merzagua Abderrazak.
Daniel menambah, dengan pelantikan itu, Penang FC yakin Wan Rohaimi akan membawa visi dan strategi baharu yang bakal memperkukuhkan pasukan dan meningkatkan kedudukan Penang FC dalam Liga Super Malaysia.
"Saya juga berharap agar Penang FC mampu ke tahap lebih tinggi selain memperbaiki prestasi serta kedudukan pasukan dalam carta liga.
"Diharap penyokong akan terus memberikan sokongan kepada pasukan di bawah kendalian Wan Rohaimi," katanya.
Sementara itu, Wan Rohaimi berkata, beliau akan berusaha sehabis mungkin untuk memastikan Penang FC beraksi dengan lebih baik selepas ini.
"Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi saya sedar tanggungjawab berat yang menanti untuk membentuk pasukan namun saya yakin dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki, saya akan dapat membawa perubahan kepada pasukan.
"Saya akan buat yang terbaik. Saya ada masa seminggu lagi sebelum perlawanan pertama saya untuk menentang Kuching City FC. Saya berharap saya dapat banyak sesi dengan pasukan untuk terapkan 'game play style' saya.
Penang FC ada material, saya mengikuti rapat perkembangan pasukan ini cuma mungkin (pemain) belum keluarkan lagi kualiti sebenar dan tugas saya adalah untuk mencari di mana kualiti yang hilang itu," katanya.
Ditanya alasan menerima tawaran daripada Penang FC, Wan Rohaimi yang pernah menjadi Ketua Jurulatih PDRM FC berkata, Pulau Pinang amat dekat dihatinya berikutan beliau pernah bermain bersama Penang FC pada 2003.
"Saya juga pernah menjadi jurulatih pasukan bawah 21 tahun pada 2020. Selepas ditawarkan, saya tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran untuk mengendalikan skuad Harimau Kumbang," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai status Akmal Rizal, Danial berkata, Akmal Rizal kini membantu membimbing skuad bawah 23 tahun Penang FC.
"Ia berikutan, Akmal Rizal masih mempunyai kontrak bersama pasukan sehingga hujung musim ini," katanya.
Penang FC kini berada di tangga kesebelas saingan Liga Super dengan hanya mampu merekodkan dua kemenangan, lima keputusan seri serta tujuh kekalahan selepas mengharungi 14 perlawanan liga setakat ini.
https://www.sinarharian.com.my/article/696574/berita/sukan/wan-rohaimi-dilantik-ketua-jurulatih-penang-fc-baharu
|