Edited by maklukpenggoda at 30-11-2024 02:41 AM
KOTA BHARU: Ikan sungai, pelbagai jenis ubi, putu halba dan luncur ombak bakal dipromosikan sebagai usaha menarik pelancong ke Kelantan ketika musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Noor berkata, usaha itu akan dibuat memandangkan Kelantan ‘sepi’ tanpa kehadiran pelancong bila tiba musim tengkujuh.
“Kebiasaannya musim tengkujuh tidak banyak aktiviti berkaitan pelancongan diadakan di Kelantan disebabkan kebimbangan pelancong untuk datang ke sini ekoran banjir dan risikonya,” kata beliau.
Sehubungan itu, Kamarudin memaklumkan, pihaknya sedang mengatur beberapa program yang sesuai diadakan pada musim tengkujuh nanti.
“Sebagai contoh, makanan istimewa yang ada pada musim tengkujuh dan tidak ada di negeri lain di samping aktiviti luncur ombak.
“Kalau kita perhatikan pada musim tengkujuh ada beberapa jenis makanan yang hanya ada di musim tersebut. Contohnya putu halba, masakan yang berasaskan ikan darat serta beberapa jenis ubi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan sara hidup siri dua, kepada 17 pengayuh beca di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC), di sini hari ini.
Tambahnya, makanan istimewa musim banjir adalah perkara biasa di Kelantan, tetapi tidak di negeri lain.
“Kegiatan luncur ombak pula sangat sesuai pada musim tengkujuh memandangkan ombaknya begitu besar. Sekarang ini aktiviti luncur ombak sedang berkembang di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Di Kelantan pula, saya mendapat tahu ada beberapa resort yang mengadakan aktiviti tersebut. Ini sesuatu yang bagus. Kita akan uar-uarkan untuk menarik pelancong tempatan dan antarabangsa datang,” jelasnya.
Tambahnya, di Kelantan terdapat dua tempat yang sesuai untuk diadakan aktiviti luncur ombak iaitu di Pantai Melawi dan Pantai Kemasin di Bachok.
Terang beliau, walaupun kedua-dua tempat ini tidak sehebat seperti di Australia, namun ia sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti luncur ombak. – HARAKAHDAILY 13/11/2024
|