Suspek gaduh korek bebola mata direman 4 hari
Oleh Nur Izzati Mohamad - November 17, 2024 @ 4:05pm [email protected]
Gambar hiasan
TASEK GELUGOR: Suspek lelaki warga asing yang mengorek mata seorang lelaki tempatan dalam insiden pergaduhan di sebuah flat di Jalan Ara Kuda, di sini, petang semalam, direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata suspek direman bermula hari ini hingga Rabu bagi siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, suspek berusia 30-an sebelum itu ditahan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Tasek Gelugor sejurus kejadian berkenaan.
"Polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan telefon berhubung insiden berkenaan dan membuat tangkapan ke atas suspek.
"Suspek dibenarkan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis masih tidak dapat merakamkan keterangan mangsa berikutan sedang menjalani pembedahan mata di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Norhaslinda Rahmat di talian 04- 576 2222 (Sambungan 2244) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan menempuh situasi mengerikan apabila bebola mata kirinya keluar akibat dikorek lelaki warga asing dalam kejadian pergaduhan di sebuah flat di Jalan Ara Kuda, di sini, semalam
Insiden kira-kira jam 2 petang itu tercetus dipercayai apabila suspek berang dengan tindakan mangsa berusia 52 tahun yang dikatakan sering mengganggunya.
Difahamkan, mangsa yang dipercayai dalam keadaan mabuk bergaduh dengan suspek yang mengakibatkan suspek bertindak mengorek keluar bebola mata kiri mangsa menggunakan tangannya.
Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir ke lokasi kejadian menemui bebola mata berkenaan tidak jauh daripada mangsa.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1325112/suspek-gaduh-korek-bebola-mata-direman-4-hari
|