CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9377|Reply: 0

[Sabah] Komited kurang penggunaan beg plastik, usaha DBKK wajar dipuji

[Copy link]
Post time 28-11-2024 01:52 PM | Show all posts |Read mode


SEJAK Kempen Pengurangan Beg Plastik dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada awal Ogos lalu, usaha berkenaan semakin diterima masyarakat sekali gus menjadi amalan harian pengguna khususnya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Kempen berkenaan bukan sahaja berjalan lancar tetapi menjadi norma baharu kepada setiap pengguna untuk membawa beg mesra alam sendiri ketika pergi membeli barangan harian di pasaraya.

Walaupun pada peringkat awalnya perkara itu menjadi perbualan panas dalam kalangan pengguna, namun akhirnya amalan baik itu diterima masyarakat, sekali gus membantu pengurangan penggunaan beg plastik.

Pujian perlu diberikan kepada pihak DBKK kerana walaupun perkara itu diwajibkan kepada pengusaha premis perniagaan seperti kedai runcit dan pasaraya, tetapi DBKK masih memberikan kelonggaran kepada penjaja kecil khususnya peniaga dalam pasar dan juga mereka yang berniaga di tamu-tamu atau pasar tani.

Kita sedia tahu bahawa pencemaran yang disebabkan beg plastik bukanlah isu baharu, tetapi sudah menjadi isu global sejak sekian lama.

Di bandaraya ini khususnya, beg plastik telah menjadi isu pencemaran khususnya di persisiran pantai serta menjadi salah satu punca parit tersumbat.

Keadaan itu turut disumbangkan oleh pembuangan sampah segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan masih hidup seolah-olah dalam zaman tidak bertamadun.

Di darat mahupun laut, plastik menjadi ancaman kepada alam serta hidupan akuatik jika tidak dilupuskan dengan cara betul.

Seiring dengan peredaran zaman, pengetahuan dan kesedaran manusia mengenai hal ini semakin bertambah.

Oleh itu, pelbagai cara telah dilaksanakan bagi meminimumkan masalah ini dan salah satu caranya adalah mengurangkan penggunaan beg plastik secara berperingkat.

Seperti yang diketahui, beg plastik sudah sekian lama digunakan di pusat membeli belah, pasaraya dan pasar tani. Pergi ke mana saja, pasti ada yang digunakan untuk menyimpan barang.

Beg plastik sering digunakan kerana bersifat ringan tetapi mampu mengangkat beban yang bersesuaian dengan saiznya.

Selain itu, ia juga senang diperolehi dan kalis air, tetapi perlu sedar bahawa plastik sukar dan memakan masa yang lama untuk dilupuskan secara semula jadi.

Ekoran daripada kesan negatif plastik kepada alam sekitar, langkah yang dilaksanakan oleh pihak DBKK untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di setiap premis perniagaan seharusnya wajar diberikan pujian.

Sebelum ini, perlaksanaan dijalankan secara berperingkat, namun sejak 1 Ogos lalu ia dijalankan secara menyeluruh melalui kempen 'Hari-Hari Bawa Beg Bah'.

Melalui kempen ini juga, ia dapat menggalakkan orang ramai untuk sentiasa membawa beg mesra alam bersama-sama mereka ketika membeli barang keperluan.

Selain itu, penggunaan beg mesra alam mendorong pengguna untuk berjimat cermat ketika berbelanja. Ini kerana satu beg hanya boleh memuatkan beberapa produk sahaja dan pengguna yang lupa membawa beg, mereka hanya boleh membeli dua atau tiga barangan sahaja.

Disamping itu, kempen ini juga dapat mendidik masyarakat untuk memelihara dan memulihara alam sekitar supaya alam sekitar menjadi semakin lestari.

Perlaksanaan kempen ini juga dilihat mampu memperkasakan sektor pelancongan, hal ini kerana persekitaran yang bersih mampu menarik lebih ramai pelancong di negeri ini.

Diharapkan melalui usaha ini, kita dapat melahirkan generasi yang mencintai alam sekitar dan sekali gus menjadikan bumi Sabah kekal indah.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/11/26/komited-kurang-penggunaan-beg-plastik-usaha-dbkk-wajar-dipuji
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 04:16 PM GMT+8 , Processed in 0.096282 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list