Yii (tiga kiri) bersama David (kanan beliau) ketika melawat salah sebuah gerai pameran yang turut serta dalam program itu.
MIRI: Aspek penjagaan kesihatan di kalangan anak-anak harus ditekankan seawal usia remaja kerana mereka ini bakal menjadi pemimpin masa depan negara.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii berkata remaja yang berusia 13 tahun dan ke atas akan mulai melalui perubahan besar sama ada dari segi fizikal, emosi dan mental.
"Justeru, sokongan daripada ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling penting untuk memastikan mereka kekal sihat secara menyeluruh termasuk dari segi mental dan emosi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Kesihatan Remaja yang diadakan di Kelab Gymkhana Miri di sini baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan remaja supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, makan secara sihat dan menjaga hubungan baik dengan keluarga serta rakan.
Dalam pada itu, program tersebut yang dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Jalan Merbau dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dan Pejabat Pendidikan Daerah Miri turut melibatkan penyertaan pelajar dari beberapa buah sekolah menengah di sekitar Miri.
Sebagai pengisian program, turut diadakan beberapa aktiviti menarik seperti pameran, ceramah dan permainan interaktif bagi meningkatkan kesedaran tentang kesihatan holistik.
Sehubungan itu, Yii menyeru orang ramai untuk terus menyokong inisiatif seperti ini kerana ia turut memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda yang sihat dan berdaya tahan.
Hadir sama pada program itu ialah Presiden Persekutuan Persatuan Cina Miri, Datuk David Goh, para pegawai kesihatan dan juga guru dari sekolah terlibat.
|