Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Lutong pagi tadi.
MIRI: Sebuah rumah dua tingkat ranap dijilat api dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Pengkalan, Lutong di sini pagi tadi.
Kebakaran itu telah menyebabkan seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun tinggal sehelai sepinggang.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 10.57 pagi.
Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong telah bergegas ke lokasi yang terletak pada jarak tujuh kilometer dari balai.
"Sebaik tiba di lokasi, komander operasi melaporkan benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat berkeluasan lebih kurang 20 x 60 kaki.
“Api ketika itu sedang marak membakar rumah berstruktur separuh kekal itu hingga ranap keseluruhan,” katanya.
Serentak itu kata jurucakap terbabit, pasukan keluaran operasi (PKO) bersama pasukan bantuan dari BBP Lopeng terus bertindak menjalankan operasi pemadaman hingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Katanya, api yang marak berjaya dikawal dalam tempoh 35 minit dan kebakaran padam sepenuhnya jam 12.48 tengah hari semalam.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin turut berada di lokasi untuk bejumpa mangsa kebakaran terbabit.
|