Gula yang dijual di sebuah kedai di Jalan Buangsiul di Limbang.
LIMBANG: "Kalau mahu merah (gula paket merah) mahu beli satu lagi (gula paket biru), ejen cakap kalau tak mahu (beli) tak apa you tak payah beli".
Itu antara ‘syarat’ yang dikenakan sesetengah peniaga yang berjaya dihidu pengguna dan pembeli ketika hendak membeli gula paket merah di bandar ini.
Tindakan peniaga itu bukan sahaja amat mengejutkan malah menyusahkan pengguna yang hendak membeli barang kawalan itu di pasaran.
Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna kepada Utusan Borneo hari ini ketika hendak membeli gula paket merah di sini, pada Ahad.
Pengguna yang hanya dikenali Mohd Rizal, 40-an mendedahkan kejadian itu apabila hendak membeli gula paket merah kerana harganya murah di sebuah kedai di Jalan Buangsiul di sini.
“Peniaga wanita itu tidak membenarkan saya membeli gula paket merah dan meletakkan syarat tidak munasabah agar membeli gula paket biru jika hendak membeli gula paket merah itu,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak berpuas hati dan bertanyakan kepada peniaga terbabit mengenai syarat pembelian itu.
“Peniaga wanita itu berkata ia adalah arahan daripada ejen atau pembekal barang kawalan tersebut,” jelasnya.
Mohd Rizal berkata, beliau memilih membeli gula paket merah kerana harganya murah iaitu RM2.85 sepaket berbanding gula paket biru berharga RM4.20.
Difahamkan, isu peniaga meletakkan syarat pembelian gula paket merah serta gula paket biru pernah disuarakan penduduk yang dikongsikan dalam laman sosial sebelum ini.
Netizen meluahkan perasaan mengenai perkara itu yang dianggap menyusahkan orang ramai yang hendak membeli gula kasar di pasaran.
|