Edited by maklukpenggoda at 24-12-2024 01:34 PM
MOSCOW: Belarus, Bolivia, Indonesia, Kazakhstan, Thailand, Cuba, Uganda, Malaysia dan Uzbekistan secara rasmi akan menjadi rakan kongsi BRICS mulai 1 Januari 2025, kata pembantu Kremlin, Yury Ushakov pada Isnin.
Katanya, yang dipetik Sputnik/RIA Novosti, menjelang sidang kemuncak di Kazan, Russia menerima 35 permohonan untuk menyertai BRICS dengan pelbagai syarat.
"Tidak dinafikan, satu daripada keputusan terpenting sidang kemuncak itu ialah penubuhan kategori negara rakan kongsi BRICS dan persetujuan mengenai senarai 13 negara. Cadangan telah dihantar ke negara-negara ini.
"Sehingga kini, Belarus, Bolivia, Indonesia, Kazakhstan, Cuba, Malaysia, Thailand, Uganda dan Uzbekistan telah mengesahkan kesediaan mereka untuk menjadi negara rakan kongsi BRICS," kata Ushakov pada taklimat.
Tambahnya, negara berkenaan secara rasmi akan menjadi rakan kongsi BRICS mulai 1 Januari 2025.
"Kami menjangkakan akan menerima maklum balas dalam masa terdekat daripada empat negara lain yang jemputan juga telah dihantar," kata pembantu itu.
Lebih daripada 20 negara menunjukkan minat terhadap usaha BRICS dan pintu persatuan itu tetap terbuka untuk kemasukan individu yang berfikiran sama, tambah Ushakov. - BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
|