Malaysia tak terburu-buru kejar status negara maju - Rafizi
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Januari 20, 2025 @ 3:22pm
[email protected]
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berucap pada Program Sesi Libat Urus RMK13 Peringkat Negeri Kedah di Seri Mentaloon. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Malaysia tidak akan terlalu terburu-buru mengejar status negara maju tanpa mengimbangi faktor penting terutama berkaitan pendidikan, kebajikan dan pembangunan rakyat.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata negara kini sudah berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju dengan unjuran ekonomi yang semakin baik.
"Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu 5.1 peratus dan sekiranya ia berterusan pada kadar 4.5 peratus ke atas untuk beberapa tahun akan datang, secara automatik akan menjadikan Malaysia negara maju.
"Memang Malaysia sekarang berada di persimpangan yang baik kerana ada banyak minat daripada pelabur antarabangsa. Kita dilihat sebagai pintu masuk yang baik ke ASEAN.
"Jadi semua ini adalah antara faktor yang dijangka terus mendorong pertumbuhan ekonomi kita yang kalau kekal seperti sekarang akan menjadi negara maju berdasarkan kriteria pendapatan yang ditetapkan iaitu menjelang 2028 dan 2029," katanya ditemui selepas Program Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau mengulas kenyataan penganalisis ekonomi Dr Mohd Azwardi Md Isa baru-baru ini yang dilaporkan berkata negara tidak perlu terburu-buru mengejar status negara maju sebelum berjaya mengimbangi beberapa faktor penting yang boleh dijadikan kayu pengukur sebenar.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata menerusi RMK13, kerajaan akan memastikan perancangan menjadi negara maju dapat diseimbangkan dalam semua perkara.
"Kita juga tidak mahu supaya fokus negara itu semata-mata kepada kemajuan fizikal ataupun kemajuan ekonomi sedangkan kita sedia maklum kita kena memastikan kemampanan sistem sosial yang bersabit dengan kesihatan, penjagaan dan tenaga mahir.
"Insya-Allah bila RMK13 diluluskan oleh Parlimen, memang jelas bahawa tumpuannya ialah kepada perkara perkara yang membina asas masyarakat, pendidikan, kesihatan, penjagaan dan sebab kita mengambil kira bahawa pertumbuhan ekonomi yang ada ini kita hanya perlu perbetulkan dan perkukuhkan landasan sahaja," jelas beliau.
Selain itu, beliau berkata Malaysia yang mengamalkan perdagangan terbuka sangat terpengaruh dengan perkembangan semasa di seluruh dunia termasuk pertukaran kepimpinan White House yang turut memberi kesan besar kepada negara.
"Jadi berdasarkan unjuran sekarang minat angka FDI (pelaburan langsung asing ) yang masuk tumbuhan ekonomi sasaran itu nampak boleh dicapai lah dalam 2028 dan 2029.
"Tapi pada masa yang sama kita mesti sedia maklum bahawa apa-apa gangguan yang berlaku di seluruh dunia itu dia akan ada kesan kepada kita.
"Dan sebab itu tumpuan Kementerian Ekonomi bukan sangat nak jadi negara maju sebenarnya. Tumpuan kita ialah membina satu infrastruktur masyarakat negara yang betul-betul kukuh supaya apa-apa pun yang berlaku di luar iaitu kesannya itu dapat kita tangani dengan baik dalam negara," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1351619/malaysia-tak-terburu-buru-kejar-status-negara-maju-rafizi
|