Mondy diperintah bayar RM20,000 kepada Ebit Lew
Oleh HARRITH HISHAM
22 Januari 2025, 3:24 pm
Mondy (kiri) dan Ebit Lew.
PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo membayar ganti rugi RM20,000 kepada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew kerana menfitnah pendakwah itu merogolnya.
Perkara itu dimaklumkan Ebit selepas mahkamah memutuskan demikian hari ini.
“Alhamdulillah syukur pada Allah saya menang saman ke atas Mondy atau Dita Restu dan beliau diminta membayar RM20,000 kepada saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ebit turut berkongsi tangkap layar writ saman yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Berdasarkan dokumen itu, Mondy diperintah membayar ganti rugi am sebanyak RM20,000 serta faedah sebanyak lima peratus setahun bermula dari tarikh pemfailan writ saman sehingga tarikh penyelesaian penuh kes.
Mengulas lanjut, Ebit berkata, saman terhadap Caprice yang menyiarkan ‘podcast’ (audio siar) berkaitan dakwaan tersebut akan berlangsung pada Mei ini.
Sebelum ini, Mondy membuat laporan polis berhubung gangguan seksual ke atas dirinya oleh pendakwah terbabit.
Ebit turut membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah terhadapnya serta satu lagi laporan penafian kes gangguan seksual.
Pada 6 Jun 2024, Ebit dilaporkan tidak akan didakwa atas tuduhan merogol Mondy selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes tersebut (no further action).
Pada 26 September 2023, Ebit memfailkan saman fitnah terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dan Mondy atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Ebit selaku plaintif memberitahu beliau mula mengenali Mondy yang memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia pada 7 Jun 2023. – KOSMO! ONLNE
|