TINJAU: Isnin (empat kiri) menerima taklimat mengenai SRRS.
PENAMPANG: Semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat bagi memastikan semua peringkat rakyat mendapat manfaat daripada setiap pembangunan yang dilaksanakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, seiring dengan komitmen itu, kerajaan negeri terus memberi perhatian yang lebih menyeluruh terhadap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, untuk semua
peringkat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurutnya, selain pembinaan projek perumahan kos rendah dan perumahan awam mampu milik, kerajaan juga meneruskan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang telah dilancarkan pada tahun 2022.
RASMI: Isnin (tiga kiri), Lee (tiga kanan) dan George (kanan) bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan gimik perasmian majlis itu.
"Setakat bulan Oktober 2024, sebanyak 4,482 buah Rumah SMJ telah dibina.
“Untuk tahun 2025 sebanyak RM250 juta iaitu peningkatan 100 peratus peruntukan bagi pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah”, katanya pada Majlis Pelancaran Skim Rumah Rakyat Sabah (SRRS) di tapak projek, 360 Boulevard Bundusan hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Haji Aliasnih.
Katanya, pembangunan hartanah merupakan pemacu utama bagi kesan gandaan ekonomi, selain dapat merangsang keseluruhan rantaian bekalan pasaran apabila proses perancangan, pembinaan, jualan, dan penghunian mencetuskan aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada sektor-sektor seperti pembinaan, kewangan, peruncitan, pengangkutan dan teknologi.
Hajiji berkata, pelancaran rasmi SRRS membuka satu lagi lembaran baru dan penting dalam usaha kerajaan negeri untuk menjana pembangunan ekonomi negeri, selain untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Katanya, SRRS adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri, disebabkan peningkatan kos sara hidup, rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri khususnya di kawasan bandar utama seperti Kota Kinabalu.
ALBUM: Para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan pada majlis itu.
“Pelancaran skim perumahan yang inovatif ini akan mengubah landskap pemilikan rumah di negeri ini. Skim ini akan memberi manfaat kepada 10,000 orang yang layak di Sabah untuk membeli rumah pertama mereka di lokasi bandar utama, dengan harga jualan tidak lebih dari RM500,000 serta syarat kemasukan yang mudah.
“Kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan dan Sabah Credit Corporation selaku penyedia tunggal pembiayaan utama skin ini, akan bekerjasama rapat dengan CFS Usaha Tegas untuk membangun dan memperhalusi rangka kerja skim perumahan ini," katanya.
Hajiji menggesa rakyat Sabah yang layak agar tidak lepaskan peluang istimewa yang ditawarkan oleh skim ini. Dengan syarat kemasukan yang mudah, dan manfaat seperti kadar faedah yang lebih rendah dan tetap, tempoh pembayaran balik pinjaman yang lebih panjang, pinjaman 100 peratus penuh dan pelan pembayaran balik khas.
Di samping itu katanya, skim itu secara tidak langsung dapat memupuk sikap jati diri dan keinginan di kalangan anak muda untuk memiliki rumah sendiri.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemaju tempatan yang telah menyertai skim ini, terutamanya Borneo Kemuncak Riang yang menawarkan Boulevard 360 Bundusan sebagai rumah pertama SRRS.
“Saya berharap dengan pelancaran skim ini, kita akan mencipta lebih banyak kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju-pemaju untuk memenuhi keperluan semua peringkat pendapatan di Sabah," katanya.
Sementara itu, Pengarah Borneo Kemuncak Riang Sdn Bhd, Lee Chee Kiang berkata, sebagai pemaju swasta, pihaknya sentiasa komited untuk menyediakan perumahan yang kondusif kepada masyarakat negeri ini.
"Hari ini dengan kerjasama daripada rakan pemaju, kita telah menawarkan perumahan SRRS sebanyak 1,800 unit rumah mampu milik di 360 Boulevard Bundusan.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menyokong inisiatif ini yang mana bukan sahaja membantu pembeli rumah tetapi juga syarikat pemaju hartanah di Sabah," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Credit Corporation, Datuk George Taitim Tulas berkata, skim yang dilancarkan itu adalah untuk memudahkan perolehan rumah dengan pinjaman yang murah untuk rakyat.
"Ini adalah skim khas, ia mesti melibatkan pendapatan isi rumah yang tidak melebihi RM10,000. Kita bagi pinjaman jangka panjang...kita akan cuba kaji bolehkah kita buat pinjam sehingga generasi kedua sehingga ketiga.
MENARIK: SRRS yang dibina di 360 Boulevard Bundusan sememangnya perumahan moden yang memberikan suasana kondusif kepada penduduknya.
"Ini bererti sekiranya generasi pertama itu sudah selesai, sudah sampai umurnya, dia tidak ada lagi pendapatan, maka pinjaman itu boleh disambung kepada anaknya.
"Kalau kita dapat buat perkara macam ini, bererti tempoh pinjaman akan lebih panjang dan pembayaran bulanan akan lebih kecil," katanya.
|