![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250126/twu-ub26012025-hs-kemalanganp1.jpg)
TERBABAS: Bas persiaran terbabas, tujuh termasuk enam pelancong warga China cedera.
SANDAKAN: Enam pelancong warga China antara tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran terbabas di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Sibuga, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu bas berusia 63 tahun terbabit dilaporkan parah, sebelum ketujuh-tujuh mangsa dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.15 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa pelancong dari China seramai 17 orang terdiri daripada 13 dewasa manakala empat kanak-kanak.
“Enam pelancong cedera manakala pemandu parah dan semua mangsa dihantar ke HDOK oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi membersihkan tumpahan minyak di lokasi kejadian.
“Selepas memastikan keadaan selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 10.42 pagi.
“Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
|