SANDAKAN: Mayat seorang lelaki warga asing ditemukan terapung di tepi Jeti Pangkalan Pasar Umum, di sini, pagi tadi.
Mayat mangsa ditemukan oleh orang awam sebelum bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Reamasamy A/L Kuppan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 6.10 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati mayat lelaki itu ditemukan terapung di permukaan air, di tepi jeti tempat pemunggahan ikan.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 28 tahun, warganegara asing dan bekerja sebagai nelayan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dan khianat dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
|