Pang dan Hii (duduk tengah) semasa bercakap dalam sidang media semalam.
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Bintulu akan menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 pada 1 Februari (Sabtu) jam 2 petang iaitu hari keempat sambutan perayaan tersebut di Restoran Dinner World, Pusat Komersial Bintulu sentral di sini.
Bercakap dalam sidang medianya Pang berkata, TBC merupakan perayaan budaya yang penting bagi masyarakat Cina maka penganjuran rumah terbuka itu untuk menghimpun orang ramai dari pelbagai latar belakang kaum agar dapat merai dan berkongsi kemeriahan perayaan bersama.
Katanya, Sarawak adalah contoh perpaduan cemerlang, yang mana rakyat dari semua etnik dapat meraikan perayaan bersama.
“Tahun Baharu Cina memberi peluang untuk mengeratkan lagi ikatan ini dan mengukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti kita,” katanya di sini semalam.
Justeru katanya, untuk memeriahkan rumah terbuka ini ia akan diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang.
Tetamu kehormat lain yang hadir Timbalan Premier merangkap Presiden SUPP Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Presiden SUPP merangkap Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ketua Setiausaha SUPP Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Turut hadir pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan agama dan pendidikan, ahli-ahli perniagaan dan orang awam.
Katanya, semua dialu-alukan untuk hadir yang mana para tetamu akan dijamu dengan hidangan pelbagai makanan perayaan termasuk turut disajikan dengan persembahan hiburan berupa nyanyian dan tarian untuk memeriahkan suasana perayaan.
Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjurnya Hii Sieng Hiing berkata, majlis tahun ini akan membawa elemen segar dan menarik termasuk penyediaan hidangan makanan tradisional perayaan antaranya yang popular ialah teh 'Bubble', ais krim, snek dan pastri yang menambah kelainan uniknya.
Hii berkata, ia amat digemari kanak-kanak termasuk orang dewasa, manakala kopi, buah-buahan tempatan dan pastri juga akan disediakan atas dasar siapa cepat dia dapat.
"Bagi memeriahkan suasana perayaan, kanak-kanak dan warga emas akan menerima sampul merah, manakala cenderamata untuk juga akan diagihkan kepada semua hadirin sebagai tanda penghargaan," jelasnya.
Katanya, majlis itu turut menampilkan persembahan tarian singa dan naga yang menakjubkan oleh kumpulan tarian singa tempatan, di samping persembahan muzik dan tarian lagu TBC oleh bakat-bakat tempatan.
“Aktiviti menarik lain ialah cabutan bertuah dengan lebih 10 hadiah ditawarkan antaranya televisyen pintar besar, telefon pintar berjenama, tablet dan peralatan rumah,” tambahnya.
Beliau berkata, tetamu yang berminat untuk menyertai cabutan bertuah boleh mengimbas kod QR pada acara tersebut untuk mendaftar dan berpeluang menang hadiah yang ditawarkan.
|