Lukanisman melihat sendiri pengoperasian di KK Singai semasa lawatan di bawah Program Jelajah Borneo semalam. - Gambar Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
KUCHING: Bangunan baharu bagi rawatan pesakit luar Klinik Kesihatan (KK) Singai di Bau dijangka mula beroperasi pada Februari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan di Facebook rasminya semalam berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan baharu bagi rawatan pesakit luar klinik tersebut telah siap pada penghujung 2024.
Dengan siapnya bangunan baharu ini katanya, KK Singai mampu menampung lebih ramai pesakit untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.
Untuk rekod, klinik kesihatan ini telah beroperasi sejak 33 tahun lalu dan memberi manfaat kepada 15 kampung yang menempatkan seramai lebih 13,000 penduduk.
Meskipun terletak hanya kira-kira 12 kilometer (km) daripada Hospital Bau, klinik ini berfungsi di tahap terbaik iaitu dengan menawarkan perkhidmatan bagi rawatan penyakit akut, kronik, kecemasan dan prosedur, pemeriksaan perubatan dan bakal jemaah haji, klinik ibu dan anak serta perkhidmatan lawatan kepada pesakit kanser di rumah (kes-kes paliatif).
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni telah mengadakan lawatan ke klinik tersebut semalam di bawah Program Jelajah Borneo.
Lukanisman bersama yang lain merakamkan gambar di hadapan bangunan baharu KK Singai yang telah siap. - Gambar Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah, Pengarah Kesihatan Bahagian Kuching Dr Johnny Pangkas serta yang lain.
|