Dennis (empat kiri) bersama jawatankuasa penganjur bersama penderma darah dalam kempen anjuran PBB Telang Usan hari ini.
MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau mengimpikan untuk menganjurkan kempen derma darah di kawasan jauh di pedalaman dalam kawasan konstituensi beliau yang dipercayai belum pernah dikendalikan sehingga sekarang.
Beliau yakin kempen tersebut akan mendapat sokongan penduduk di kawasan itu termasuk dari kaum Orang Ulu dan Penan.
"Kalau kita menganjurkan di kawasan pedalaman di tengah hutan belantara Borneo, saya yakin kita boleh menarik minat kaum Orang Ulu khususnya kaum Penan untuk menderma darah.
"Inilah sesuatu yang boleh kita buat. Kalau dipersetujui oleh Tabung Darah kita menganjurkan jauh di pedalaman, mungkin ini yang pertama kali jauh di pedalaman," katanya pada kempen derma darah anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.77 Telang Usan di Bintang Megamall, hari ini.
Dennis yang juga Ketua PBB Telang Usan berkata, aktiviti tersebut pernah dianjurkan di pekan Long Lama tahun lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) itu turut merancang untuk menganjurkan aktiviti itu di kawasan beliau di Telang Usan pada masa akan datang.
Antara lokasi yang dicadangkan ialah di Daerah Kecil Long Bedian dan beliau yakin akan mendapat sambutan baik daripada penduduk termasuk penderma baharu.
"Mereka sangat memahami. Kebanyakan mereka memiliki tubuh badan yang sihat dan umur yang sesuai untuk menderma darah," jelasnya.
Tentang aktiviti itu, Dennis berkata, ia bukan acara politik tetapi landasan PBB Telang Usan untuk berbakti kepada rakyat.
"Kita di PBB Telanag Usan, hanya melakukan sebahagian kecil daripada peranan kita untuk mewujudkan peluang kepada masyarakat di Miri untuk bersama-sama menderma darah," jelasnya.
Beliau memuji semangat sukarelawan termasuk penganjur dan penderma darah yang peka terhadap keperluan bekalan darah di Tabung Darah dan kepentingan menderma darah untuk menyelamatkan nyawa orang lain.
Dennis berharap lebih ramai generasi muda dan penderma baharu tampil memberi sokongan terhadap aktiviti itu yang kerap dianjurkan pelbagai pihak di sini.
Dalam pada itu, penganjur berjaya melepasi sasaran dengan seramai 120 mendaftar untuk menderma darah.
Daripada jumlah itu, seramai 101 penderma layak menderma darah atau 101 pain darah berjaya dikumpul dalam aktiviti tahunan kali keempat itu yang bermula pada jam 10 pagi hingga 1 petang.
Hadir sama Timbalan Ketua PBB Telang Usan Charles Balan Seling dan Pengerusi Penganjur Ketua Kaum Anthony Ngau.
|