Abang Johari menerima cenderamata daripada Uggah sambil disaksikan yang lain pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon Betong di Betong hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta agar menangani isu gangguan bekalan elektrik di Betong yang semakin serius berikutan peningkatan jumlah isi rumah, sekolah, dan premis perniagaan dalam tempoh dua dekad yang lalu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu mencari jalan untuk menstabilkan bekalan elektrik di kawasan Betong.
"Permintaan terhadap bekalan elektrik telah meningkat sejak 20 tahun lalu disebabkan oleh pertambahan jumlah isi rumah, sekolah, pejabat, serta penggunaan peralatan elektrik moden yang bertambah maju ekoran perubahan gaya hidup yang sudah berubah.
"Masalah gangguan bekalan elektrik ini telah menjadi perkara biasa di kawasan Betong," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon Betong di Betong hari ini.
Sehubungan itu, Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB meminta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mencari kaedah bagi menaik taraf kapasiti bekalan elektrik di Betong.
Selain itu, beliau menyeru agar kemudahan Internet di kawasan Betong dipertingkat bagi memastikan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dapat dinikmati penduduk luar bandar.
Uggah ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon Betong di Betong hari ini. - Gambar Penerangan
Beliau berkata, ini penting memandangkan Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kini disalurkan kepada penerima yang layak melalui aplikasi S Pay Global.
"Tambahan pula, ramai pelajar kita menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian, dan ahli perniagaan menjalankan pemasaran digital. Jika sambungan Internet masih lemah, ia akan menjejaskan mereka.
"Oleh itu, kami mohon agar Premier Sarawak mempertimbangkan untuk menaik taraf rangkaian jalur lebar luar bandar demi manfaat rakyat kita," tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu.
Di bawah kepimpinan Abang Johari, katanya, Sarawak telah berubah menjadi wilayah berpendapatan tinggi yang diiktiraf oleh Bank Dunia.
Beliau memaklumkan bahawa hasil negeri meningkat daripada RM5.6 bilion pada tahun 2017 kepada RM14.2 bilion pada tahun lalu.
Sarawak juga katanya, mencatat pelaburan asing sebanyak RM21.3 bilion dari 2021 hingga 2023, serta mewujudkan 11,000 peluang pekerjaan.
"Malah, Belanjawan Negeri 2025 adalah yang tertinggi dalam sejarah Sarawak, iaitu sebanyak RM15.8 bilion. Dasar Premier adalah untuk meningkatkan pendapatan agar hasil ini dapat diagihkan kepada rakyat," ujar beliau.
Dalam tempoh lapan tahun lalu, menurutnya, Abang Johari telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan mengambil langkah berani untuk memajukan pembangunan Sarawak.
Beliau berkata, Premier Sarawak telah melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan jayanya dan memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, termasuk melantik Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pengagregat gas di negeri ini.
Malah katanya, Abang Johari juga telah memastikan Sarawak memperoleh saham terbesar dalam Affin Bank Berhad, mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, dan bakal mempunyai syarikat penerbangan sendiri.
"Di bawah kepimpinan Abang Johari, kita terus melihat perpaduan dalam PBB, sebuah parti yang kekal relevan sebagai tiang kestabilan, kemajuan, dan kemampanan Sarawak," jelas Uggah.
Justeru katanya, PBB Zon Betong berikrar untuk terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Abang Johari.
"Kami semua ahli PBB sebulat suara bersetuju bahawa Abang Johari terus memimpin PBB sebagai Presiden kami, dan bersama-sama, kita akan maju ke hadapan," ujar Uggah lagi.
|