Abang Johari ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon Betong di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Anugerah Felo Kehormat Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) yang diterimanya sebagai penghargaan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atas peranan dalam merancang dan membangunkan Sarawak.
Beliau berkata, ia bukannya penganugerahan peribadi tetapi merupakan pengiktirafan kepada Sarawak atas usaha berterusan dalam merancang dan menguruskan masa depan negeri ini dengan visi jelas.
“Malam tadi (malam Jumaat) saya menghadiri Majlis Anugerah kecemerlangan Perancangan MIP 2024 dan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya telah dianugerahkan Felo Kehormat MIP
“Ini bukanlah anugerah kepada saya sebagai individu tetapi adalah pengiktirafan oleh profesional perancangan Malaysia kepada pembangunan di Sarawak dari sudut perancangan bandar, ekonomi dan tenaga boleh diperbaharui serta rancangan kita dalam dasar Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Jadi, ini merupakan pengiktirafan kepada PBB kerana saya adalah Ketua (Presiden) PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon Betong di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Naib Presiden PBB Dato Sri Julaihi Narawi.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Felo Kehormat MIP kepada Abang Johari dalam satu majlis di Kuala Lumpur Anwar dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Abang Johari atas anugerah itu dan menyifatkannya sebagai seorang tokoh berwawasan tinggi untuk membangunkan negeri Sarawak.
“Abang Jo ini tokoh yang telah buktikan sekiranya politik itu stabil, pimpinan tumpu perhatian kepada pembangunan negeri, boleh dan teroka idea serta dasar baharu, tak terikat duduk dalam kepompong lama tapi sering cari jalan.
“Hasilnya soal tenaga, dapat pulangan yang munasabah untuk negeri, pemimpin itu jika ada wawasan dan pemahaman dan berupaya menggerakkan seluruh kekuatan dan tenaga yang ada termasuklah jentera kerajaan bekerjasama dengan swasta, universiti, ini akan dapat melaksanakan cita-cita,” katanya.
|