Edited by Vellfire at 27-1-2025 07:56 AM
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250125/kch-ub250125-mm-jo-p3.jpeg)
Abang Johari disambut meriah oleh kira-kira 1,400 perwakilan ahli PBB dari 14 cawangan Zon Betong hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Sarawak mencatat sejarah membanggakan apabila berupaya melaksanakan pembinaan 16 jambatan sekali gus, satu pencapaian yang tiada di negeri lain di Malaysia, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, kesemua pembinaan jambatan tersebut memerlukan peruntukan yang besar, namun ia berjaya dibiayai menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri tanpa bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
"Kita (Sarawak) bina semua sekali jambatan ini yang berkehendakkan dana besar tanpa perlu menunggu (dana) Kerajaan Persekutuan. Jika kita terus menunggu mereka, jambatan-jambatan ini pasti tidak akan siap.
"Hari ini, kita dapat lihat dengan jelas Jambatan Batang Lupar, Jambatan Saribas, Lingga, Kemena, Marudi, Muara Lassa, Paloh, Sarikei, semuanya sekali gus kita buat.
"Pembinaan jambatan-jambatan ini bertujuan untuk menghubungkan kawasan luar bandar dan membuka kawasan ekonomi baharu kepada penduduk," ujarnya.
Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon Betong di Betong, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Naib Presiden PBB Dato Sri Julaihi Narawi.
Sementara itu, Abang Johari menzahirkan keyakinan projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling yang sedang dalam pembinaaan akan mengubah landskap Betong secara keseluruhannya.
Ini katanya, akan memberi impak besar terhadap pembangunan ekonomi dan kemajuan infrastruktur di kawasan tersebut.
Sekarang ujarnya, Betong sudah ada jambatan iaitu jambatan keluli Sungai Paku di Tanjung Sebekut, Spaoh dan STOLport Bebuling.
"Jadi, dengan ada landasan ini, kita boleh menarik pelancong untuk datang ke sini. Kalau kita lihat memang ada kapal terbang yang boleh membawa penumpang kira-kira 20 orang dalam satu masa menggunakan landasan yang pendek.
"Apabila kemudahan ini sudah wujud, secara tidak langsung orang ramai boleh datang ke Betong dan Spaoh untuk melihat apa yang ada di sini termasuk Tasik Batang Ai yang mana nanti kita boleh bangunkan kawasan itu untuk riadah," katanya.
Mengenai permohonan untuk menaik taraf bekalan elektrik di kawasan Betong, Abang Johari berkata, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi akan memantau perkara tersebut.
"Kita serahkan kepada Julaihi yang merupakan menteri bertanggungjawab dalam bekalan elektrik.
"Kita telah menyediakan peruntukan untuk memastikan rakyat kita mendapat bekalan elektrik yang berterusan," jelasnya.
Abang Johari mengakui pentingnya untuk meningkatkan akses bekalan elektrik kepada komuniti luar bandar di seluruh Sarawak, lebih-lebih lagi gaya hidup dan tahap kehidupan mereka telah berubah dan meningkat sejak beberapa tahun lalu.
"Rakyat luar bandar kita, termasuk mereka yang tinggal di rumah panjang, telah mengalami perubahan gaya hidup dan sebab itulah permintaan untuk bekalan elektrik meningkat," katanya.
|