Spekulasi mengenai masa depan pemain antarabangsa Mesir itu semakin hangat diperkatakan dengan Liga Pro Saudi dilihat sebagai antara destinasi pilihan untuk dia meneruskan kerjayanya.
Dalam satu temu bual yang disiarkan di saluran YouTube Piers Morgan Uncensored pada Khamis, Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal ditanya sama ada bintang Mesir itu akan menjadi hadiah besar kepada negara Timur Tengah itu.
"Sudah tentu, jika dia memenuhi semua kriteria, kami akan sangat berbesar hati untuk memilikinya," kata Putera Abdulaziz.
"Kami merasakan ada berkongsi banyak persamaan dengan orang Mesir, dari segi budaya hingga sejarah."
Pada usia 32 tahun, Salah memimpin carta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 19 gol musim ini, namun dalam satu kenyataan pada Disember lalu, dia menyatakan masih jauh untuk mencapai persetujuan mengenai kontrak baru bersama Liverpool.
Slot berkata, kelab itu berhasrat untuk mengekalkan Salah dan berharap pemain berkenaan akan memilih untuk melanjutkan kontraknya.
"Kami mahu dia terus bersama kami, itu jelas. Tetapi saya tidak terkejut jika negara lain termasuk Saudi, berminat untuk mendapatkannya," kata Slot dalam sidang media, hari ini, menjelang aksi menentang Bournemouth, malam esok.
"Dia cukup bijak dan berpengalaman dalam membuat keputusan untuk masa depannya dan saya pasti dia akan membuat keputusan yang terbaik, bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk kami."
Selain Salah, dua lagi pemain utama Liverpool, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold bakal tamat kontrak pada penghujung musim ini, menambah kebimbangan terhadap masa depan pasukan itu.
Bagaimanapun, Slot enggan mengulas lanjut mengenai rundingan kontrak, namun menegaskan perbincangan mengenai masa depan pemainnya adalah sesuatu yang dipandang serius.
|