Butterworth: Seorang lelaki dan teman wanitanya direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh ibu kandung di Pangsapuri Orkid, di sini, pada Jumaat lalu.
Perintah reman bermula hari ini hingga 9 Februari depan itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek berusia 24 tahun dan 20 tahun itu.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di perkarangan mahkamah jam 10.49 pagi diiringi anggota polis bagi mendapatkan proses reman.
Difahamkan, suspek dan teman wanitanya diberkas polis di sebuah rumah di Paya Terubong dekat sini, kira-kira jam 6.30 pagi tadi susulan penemuan mayat wanita berusia 60 tahun yang dipercayai dibunuh di sebuah pangsapuri di sini, tiga hari lalu.
Sebelum insiden berkenaan, difahamkan berlaku pertengkaran antara dua beranak terbabit.
Mangsa kemudian dikatakan telah dipukul suspek yang juga anak kandungnya menggunakan objek tumpul di kepala.
Berdasarkan semakan polis mendapati suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan memukul kedua-dua ibu bapanya dan positif dadah.