Edited by sfhzuraz at 3-2-2025 05:44 PM
Jam azan digital jadikan rumah ibarat masjid
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
03 Februari 2025 04:25pm
Mohammad Yaakub Yusra (tengah) menunjukkan jam azan digital yang dihasilkan Madad dengan kerjasama Promas Technology Sdn Bhd.
SUNGAI PETANI - Pusat dakwah terkenal, Murtadha Dakwah Centre (Madad) mengembangkan lagi fungsinya menerusi jalinan kerjasama dalam penghasilan jam azan digital.
Pengarah Urusannya, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata, kerjasama yang dijalankan dengan Promas Technology Sdn Bhd itu bermatlamat agar memudahkan umat Islam melaksanakan ibadat solat tepat waktu selain menjadikan rumah ibarat masjid.
]
Mohammad Yaakub Yusra (kiri) menunjukkan proses penghasilan jam azan digital di bengkel yang dibangunkan di Madad, Kedah.
Menurutnya, didatangkan dengan rekaan unik dan bersaiz lebih praktikal, ia juga mampu mendisiplinkan diri melaksanakan solat sebaik sahaja masuk waktu ketika berada di mana-mana sahaja.
"Kita tidak mahu mengharapkan kepada sumbangan orang ramai semata-mata untuk membangunkan Madad, jadi melalui hasil jualan yang diperolehi, sedikit sebanyak menampung keperluan kerja-kerja pembangunan di sini," katanya.
Beliau berkata, dengan harapan memberi peringatan agar tidak leka pada setiap waktu solat terutama kanak-kanak dan remaja yang masih berlatih dalam menunaikan ibadat, ia juga membantu umat Islam mendekatkan diri dengan ALLAH SWT biarpun sibuk dalam pekerjaan.
]
Pengunjung hadir melihat dengan lebih dekat proses penghasilan jam azan digital Madad di Sungai Petani Kedah.
"Dihasilkan dengan tinggi kualiti, buatan Malaysia, mendapat perakuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), memastikan waktu solat yang dipaparkan adalah yang terkini, tepat dan boleh dipercayai," ujarnya.
Mohammad Yaakub Yusra berkata, Madad yang terletak di Kampung Telok Sungai Petani menempatkan masjid dan kemudahan lain seperti Tahfiz Integrasi, Rumah Kucing, Rumah Kuda, Rumah Kahwin dan Edukidz, kini sudah menjangkau tahap 60 peratus siap sejak ia dimulakan pada 2018.
https://www.sinarharian.com.my/article/710593/edisi/utara/jam-azan-digital-jadikan-rumah-ibarat-masjid
|