Chieng berjabat tangan dengan hadirin pada majlis tersebut. - Gambar Peter Boon
SIBU: Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek kini sedang disemak semula, dengan butiran akan diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng berkata, Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek adalah projek pembangunan semula berskala besar.
“Projek berskala besar ini termasuk perumahan mampu milik yang menjadi kebimbangan ramai.
“Pelan induk pembangunan sedang disemak semula, dengan butiran akan diumumkan oleh Premier Sarawak Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Projek ini dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada tahun 2026,” katanya.
Chieng menyampaikan laporan pencapaiannya kepada hadirin semasa Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 yang dianjurkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek dan Pusat Khidmat N51 Bukit Assek di sini, malam Ahad.
Lebih 1,500 orang menghadiri majlis itu walaupun hujan lebat melanda pada sebelah petang.
Turut hadir ialah Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon, pengerusi penganjur majlis Kaunselor Kiing Teck Ho, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong dan Pengerusi SUPP Cawangan Nangka Chua Beng Seng.
Tambah Chieng, sebaik sahaja projek itu siap ia akan mengubah landskap kawasan Bukit Assek.
“Akan berlaku perubahan drastik dalam infrastruktur, penambahbaikan pengangkutan awam serta peningkatan persekitaran kediaman.
“Ia akan membawa manfaat besar kepada kehidupan harian dan keseluruhan wajah Bukit Assek," katanya.
Chieng turut menyentuh mengenai sumbangan kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diwajibkan kepada penjaja dan peniaga berlesen mulai 1 Januari lalu, di mana beliau telah membantu dengan dana berjumlah RM13,399.20.
Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai bantuan yang diberikan kepada mangsa ribut luar biasa pada tahun 2023 yang berjumlah RM132,000.
“Bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap 132 keluarga ini adalah daripada pusat khidmat saya dan tidak termasuk RM1,000 daripada Kerajaan Sarawak kepada setiap keluarga yang terjejas,” jelasnya.
|