Sukarelawan terdiri daripada pekerja OCI M Sdn Bhd membersihkan rumah rakan sekerja yang terjejas teruk akibat banjir besar di Bintulu baru-baru ini.
KUCHING: Lebih 100 sukarelawan terdiri daripada pekerja OCI M Sdn Bhd bergotong-royong membersihkan rumah-rumah rakan sekerja mereka yang terjejas akibat banjir yang melanda bandar Bintulu, baru-baru ini.
Diketuai Ketua Pegawai Tekninal Kim Dng Moon, operasi pembersihan selama dua hari melibatkan beberapa kawasan kediaman dengan lebih 30 buah rumah terjejas teruk dan perlubantuan segera.
Kim menekankan bahawa inisiatif itu mencerminkan komitmen kuat OCI M untuk menyokong pekerjanya semasa krisis.
“Di OCI M, kami lebih daripada sekadar rakan sekerja. Kami sekeluarga. Apabila musibah menimpa, kita bersama-sama membantu antara satu sama lain.
"Melihat kesan buruk banjir ke atas rumah pekerja kami, ia menyayat hati dan kami mahu melakukan segala yang mampu untuk menyokong mereka dalam membina semula kehidupan mereka," kata Kim dalam satu kenyataan.
Selain usaha pembersihan, OCI M juga menyediakan tempat perlindungan sementara kepada pekerja yang terjejas dan keluarga mereka.
OCI M juga telah menyumbang bantuan makanan kepada Pejabat Residen Bintulu dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Sukan BDA Kidurong untuk membantu lebih ramai mangsa banjir.
“Sebagai sebuah syarikat yang berakar umbi di Sarawak dengan kilang kami di Taman Perindustrian Samalaju, kami mengiktiraf tanggungjawab kami untuk berdiri bersama warga kami semasa masa sukar.
"Usaha bantuan ini hanyalah salah satu daripada banyak cara kami komited untuk menyokong pekerja kami dan masyarakat setempat," tambah Kim.
OCI M ialah anak syarikat milik penuh OCI Holdings di Korea Selatan, mengkhusus dalam pengeluaran polysilicon gred suria ketulenan tinggi dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 35,000 tan dalam rantaian bekalan global untuk wafer silicon dan sel fotovoltaik.
|