Pang semasa meninjau tapak longgokan sampah susulan banjir di Bintulu, hari ini.
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta syarikat swasta yang berganding bahu membersihkan sisa-sisa longgokan sampah selepas bencana banjir yang melanda bahagian ini.
Jelasnya, dalam tempoh sukar ini ia merupakan satu tugasan mencabar yang mana kerja-kerja mengumpul sisa buangan ini dijalankan secara berperingkat dan mengikut keperluan.
"Terdapat sesetengah jalan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja mengutip sisa buangan ini yang mana pengguna kenderaan harus berhati-hati semasa memandu bagi memastikan kelancaran kerja-kerja pihak berwajib mengalihkan longgokan sampah," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, kerja-kerja mengumpul sampah semalam memfokuskan kawasan sekitar Taman Kemena Sutera, Bukit Orang dan Taman Jason.
Kerja-kerja mengumpul sampah ini katanya, harus dijalankan secara berperingkat memandangkan kuantitinya cukup banyak.
Justeru itu sarannya, semua pihak harus memberi kerjasama dengan melonggokkan sampah terbabit di kawasan strategik yang memudahkannya dikutip.
"Saya pada masa sama melahirkan rasa bangga dengan tindakan badan-badan swasta yang tampil membantu BDA menjalankan kerja-kerja pembersihan serta pembuangan sisa-sisa banjir dari kawasan perumahan dan industri, sekali gus menjadikan kawasan terjejas kembali bersih seperti biasa dan selesa untuk didiami," tambah beliau.
|