SEBUYAU: Dewan Pembangunan Sebuyau, Dewan Masyarakat Lutong Sebangan, Dewan Masyarakat Arus Melayu dan Dewan Masyarakat Bajong Ili telah dijadikan pusat pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir yang melanda daerah ini.
Empat PPS ini menempatkan 538 mangsa banjir dari Kampung Stika, Pantu Plaie, Lubok Meranti, Lumut, Arus Iban, Terusan, Skitong, Bajong, Sagu dan Nap di sini.
Mereka terpaksa berpindah ke PPS tersebut selepas kawasan kampung dan rumah panjang ditenggelami air banjir disebabkan oleh hujan lebat dan limpahan air dari kawasan sebelah darat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkesempatan meminjau keadaan empat PPS tersebut hari ini dan seterusnya menyampaikan bakul makanan.
Julaihi bersama sukarelawan menghantar bekalan makanan dan Air minuman. – Foto: FB Julaihi Narawi
“Kesemua penduduk yang dipindah di empat PPS ini disediakan makan minum empat kali sehari selain dari bakul makanan.
“Di antara mangsa yang terlibat ialah beberapa orang kanak-kanak termuda berumur sebulan,” kata Julaihi dalam hantarannya di Facebook beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau.
“Bakul makanan telah juga saya sampaikan kepada Tuai Rumah Maramat Lalat untuk penduduk Kampung Kakus Ensika seramai 150 orang.”
Menurutnya, sistem saliran dan pengairan di daerah Sebuyau perlu dikaji semula supaya lebih sempurna dan mencukupi untuk menampung aliran isipadu air yang mengalir dari kawasan sekitar, khususnya dari ladang sawit yang luas di kawasan sekitar dan belakang kawasan kampung dan rumah panjang.
Warga emas adalah antara mangsa banjir yang berpindah ke PPS yang disediakan di Sebuyau. – Foto: Julaihi Narawi
|