Edited by sfhzuraz at 4-2-2025 07:20 PM
10 beradik PHD wakaf rumah jadi perpustakaan
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
04 Februari 2025 06:27pm

10 beradik yang merupakan anak Gayah Osman bersepakat untuk mewakafkan dua unit rumah keluarga mereka untuk dijadikan perpustakaan.
GEORGE TOWN - 10 beradik sepakat mewakafkan dua unit rumah keluarga mereka di Pangsapuri Warisan Tanjung di Tanjung Tokong di sini untuk dijadikan perpustakaan bagi kegunaan awam di negeri ini.
Salah seorang wakil keluarga pewakaf, Dr Imran Abdul Khalid, 65, berkata, tujuan mereka mewakafkan kedua-dua unit tersebut pada 2023 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk membantu pelajar yang tidak berkemampuan dalam mendapatkan sumber ilmu pengetahuan.

Dr Imran
Imran berkata, kesemua adik-beradiknya bersatu hati untuk mewakafkan kediaman tersebut sebagai perpustakaan agar pahala sentiasa mengalir buat ibunya, Gayah Osman yang meninggal dunia pada 2019.
"Arwah ibu sentiasa terapkan kepentingan ilmu kepada kami dan dia selalu mengingatkan, ilmu boleh mengubah nasib kami yang serba kekurangan.
"Disebabkan itu, kami 10 beradik sangat mementingkan pelajaran dan hasilnya, kesemua kami berjaya menamatkan pelajaran di peringkat PHD.
"Ini adalah salah satu sebab mengapa kami mewakafkan kediaman ini untuk kegunaan pelajar yang tidak mampu daripada segi kewangan dan meneruskan semangat arwah ibu untuk membantu mereka tidak berkemampuan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah di sini pada Selasa.
]
Mohamad menandatangani plak di Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah di Pangsapuri Warisan Tanjung pada Selasa.
Perpustakaan itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, anak ketiga itu berkata, arwah ibu seorang guru namun berhenti setelah berkahwin dan menjual kuih untuk menyara keluarga.
"Dia seorang yang sangat berdisiplin dan sentiasa membantu orang yang tidak berkemampuan. Ajaran arwah membuatkan kami pun suka membantu orang dan mementingkan ilmu pengetahuan.
Kami berharap wakaf perpustakaan ini akan membawa pahala serta amal jariah berpanjangan khusus buat ibu serta ahli keluarga kami dan berharap perpustakaan ini dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pulau Pinang terutamanya anak-anak di Tanjung Tokong," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri terus berusaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam dengan perasmian Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah.
]
Mohamad sedang berbual dengan kanak-kanak yang membaca buku di Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah ketika melawat perpustakaan itu pada Selasa.
Beliau berkata, penubuhan perpustakaan itu adalah hasil inisiatif strategik antara MAINPP, Wakaf MAINPP dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.
"Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, terutama dalam memastikan akses kepada bahan bacaan berkualiti bagi semua peringkat usia," katanya.
INFO:
> Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah di Pangsapuri Warisan Tanjung, Tanjung Tokong merupakan perpustakaan wakaf pertama di Pulau Pinang dibuka untuk kegunaan orang ramai terletak di tingkat 3, Blok K pangsapuri berkenaan.
>Di buka bermula Selasa hingga Sabtu jam 9.30 pagi hingga 6 petang, menyediakan 1,700 buah buku fizikal dan akses ke Perpustakaan Awam Pulau Pinang dengan 5 juta buku digital.
>Dilengkapi dengan pelbagai koleksi buku untuk kanak-kanak, dewasa, selain kemudahan ruang bacaan, surau, WiFi dan tandas.
https://www.sinarharian.com.my/article/710850/edisi/utara/10-beradik-phd-wakaf-rumah-jadi-perpustakaan
|