BINTULU: Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) menggesa tindakan tegas diambil ke atas kumpulan samseng yang terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan awam.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu menegaskan, beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang bertindak menakut-nakutkan atau mengancam nyawa orang awam.
"Saya berharap agar tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit, sekali gus membanteras aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam kerana kita inginkan suasana kehidupan yang harmoni dan selamat," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau membuat gesaan itu susulan tular satu video di media sosial yang menunjukkan serangan ganas yang dilakukan oleh salah seorang ahli kumpulan samseng menggunakan gunting untuk mencederakan individu lain.
Tindakan ganas dan agresif itu amat mengejutkan serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
"Orang awam turut menzahirkan kebimbangan dan tertanya-tanya adakah Bintulu kini dikuasai kumpulan samseng yang bermaharajalela dan bebas melakukan jenayah keji ini," kata beliau.
Tiong pada masa sama menerima makluman bahawa suspek telah menyerah diri kepada polis, justeru beliau menggesa Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixson Joshua Ali dan pasukannya mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.
Beliau menegaskan sekali lagi tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah yang mengancam keselamatan orang awam.
"Ini adalah amaran terakhir dan saya tidak mahu melihat kejadian ganas seperti ini berulang dan ingin saya nasihatkan individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan samseng supaya berundur sebelum terlambat," tambah beliau.
|