BANGKOK: Thailand akan memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan bersempadan dengan Myanmar bagi membendung pusat penipuan.
Perkara itu dimaklumkan kerajaan negara itu hari ini, ketika tekanan semakin memuncak terhadap kemudahan haram yang sudah menjerat ramai mangsa membabitkan rakyat pelbagai negara.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu orang telah diperdagangkan oleh geng jenayah dan dipaksa bekerja di pusat penipuan serta operasi dalam talian haram di seluruh Asia Tenggara termasuk sepanjang sempadan Thailand-Myanmar.
Laporan PBB 2023 menganggarkan operasi terbabit berkembang pesat menghasilkan berbilion dolar setiap tahun.
"Kita wajar mengambil tindakan untuk memutuskan bekalan elektrik dengan segera," kata Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai kepada pemberita.
Sehubungan itu, katanya pihak berwajib akan mengarahkan pihak berkuasa elektrik negeri yang membekalkan perkhidmatan ke kawasan terbabit untuk memutuskan bekalan.
Operasi penipuan itu mendapat perhatian semula selepas pelakon China, Wang Xing, diculik sebaik tiba di Thailand bulan lalu.
Beliau kemudiannya dibebaskan oleh polis Thailand yang menemuinya di Myanmar.
Thailand bimbang mengenai impak operasi penipuan terhadap sektor pelancongan pentingnya dan berusaha untuk meredakan kebimbangan keselamatan pengunjung dari China, yang menjadi pasaran utama.
Sementara itu, Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, berkata perbincangan akan diadakan hari ini dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai pelbagai langkah untuk menangani pusat penipuan termasuk menghentikan bekalan elektrik.
"Apa yang berlaku memberi impak besar kepada ramai rakyat Thailand dan imej negara," katanya.
Ditanya bila operasi bekalan elektrik akan diputuskan, beliau menjelaskan perbincangan mulai dibuat hari ini dan sekiranya ia jelas, pihaknya akan memulakan hari ini.
Sementara itu, Ketua Majlis Keselamatan Negara semalam memaklumkan bukti menunjukkan sindiket jenayah transnasional yang beroperasi di Tachileik, Myawaddy dan Payathonzu di Myanmar antara kawasan yang mungkin disasarkan untuk dihentikan bekalan elektrik.
Dalam pada itu, akhbar kerajaan Myanmar, Global New Light of Myanmar dalam artikel yang jarang diterbitkan mengenai pusat penipuan, bulan lalu berkata utiliti asas termasuk elektrik dan internet, tidak disediakan Myanmar tetapi oleh negara lain, dengan merujuk kepada Thailand.
Ia menyebut 'organisasi asing' melabur dalam infrastruktur terbabit.
Sejak Oktober 2023, kerajaan tentera Myanmar memulangkan lebih 55,000 warga asing kebanyakannya warga China yang dipaksa bekerja di pusat penipuan ke negara asal mereka, menurut akhbar itu.
|