Kangar: Tempoh tahanan reman pembantu kedai makan yang didakwa meninggalkan bayi perempuan di sebuah kedai makan di Sanglang pada 19 Januari lalu, dilanjutkan sehingga Jumaat ini.
Ia susulan tempoh reman suspek wanita berusia 29 tahun itu tamat hari ini.
Sumber polis berkata, lanjutan reman berkenaan adalah untuk mengemaskini siasatan terhadap kes berkenaan sebelum dituduh di mahkamah.
"Bagaimanapun kita masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bayi itu bagi melengkapkan siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan lanjutan reman berkenaan.
Pada 2 Februari lalu, polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan susulan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah kedai makan di Sanglang, Kangar pada 19 Januari lalu.
Suspek ditahan jam 2.55 pagi di sebuah rumah di Simpang Empat, Kangar berdasarkan maklumat yang diperoleh polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kangar.
Ketika ditahan suspek tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil manakala suaminya pula tiada disebabkan berada dalam tahanan di sebuah pusat pemulihan dadah.