CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5618|Reply: 0

Singapura luluskan RUU Mengekalkan Keharmonian Kaum

[Copy link]
Post time 5-2-2025 03:32 PM | Show all posts |Read mode


SINGAPURA: Parlimen Singapura semalam meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan menyatu dan memperkukuhkan kuasa kerajaan, termasuk memperkenalkan penggunaan Perintah Sekatan (RO) bagi mengekalkan keharmonian kaum serta menangani ancaman berkaitan di negara ini.

RUU Mengekalkan Keharmonian Kaum (RH) dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K Shanmugam, bersama Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling.

Ia dibacakan bersama RUU Pindaan Perlembagaan Republik Singapura yang meminda kuasa Presiden bawah Perlembagaan bagi melaksanakan cadangan dalam RUU RH.

Antara langkah diperkenalkan dalam RUU RH ialah rejim RO bagi menangani kandungan yang memudaratkan keharmonian kaum, pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani insiden perkauman, serta perlindungan bagi menghalang entiti berasaskan kaum daripada digunakan sebagai saluran pengaruh asing.

Pendekatan berasaskan komuniti yang dikenali sebagai Inisiatif Pemulihan Komuniti (CRI) pula memberi peluang kepada pesalah untuk memulihkan hubungan dengan komuniti yang terkesan akibat tindakan mereka.



"RUU RH bukan penyelesaian menyeluruh kepada semua cabaran berkaitan kaum, namun ia merupakan isyarat jelas terhadap iltizam kita untuk kekal bersatu sebagai satu bangsa," kata Shanmugam.

Beliau turut memetik tinjauan 2024 membabitkan lebih 1,000 penduduk Singapura, yang mendapati orang ramai menyokong pelbagai cadangan dalam RUU RH.

Sementara itu, Xueling berkata, Klausa 8 RUU RH membolehkan Menteri Ehwal Dalam Negeri mengeluarkan RO terhadap individu terbabit dalam komunikasi, penghasilan atau pengedaran kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum di Singapura.

Bagaimanapun, pengeluaran RO akan tertakluk kepada perlindungan ketat, termasuk semakan oleh Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH) yang bakal ditubuhkan bawah RUU itu.

Individu yang dikenakan RO berkaitan kandungan perkauman juga boleh mengemukakan representasi kepada PCRRH.

RUU RH turut menetapkan entiti berasaskan kaum tertakluk kepada langkah asas pengaruh asing, termasuk keperluan untuk mendedahkan sumbangan asing dan tanpa nama yang diterima, hubungan dengan pihak luar negara serta komposisi kepimpinan mereka.

Xueling berkata, Klausa 15 memberi kuasa kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menetapkan sesebuah entiti berasaskan kaum jika dianggap perlu atau wajar bagi mencegah, mengelak atau mengurangkan sebarang pengaruh asing yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di Singapura.

Sesuatu entiti boleh dikategorikan sebagai entiti berasaskan kaum sekiranya ia mewakili ataupun mempromosikan kepentingan sosial, ekonomi, politik, pendidikan, linguistik, budaya atau lain-lain kepentingan sesuatu kaum, atau membincangkan isu berkaitan kaum tertentu.

Pada peringkat awal, persatuan kaum dan perniagaan yang dikaitkan dengan kaum Cina, Melayu serta India, akan dikategorikan bawah RUU itu.

"Kami memerlukan masa untuk menilai entiti dalam kategori ini sebelum dapat memaklumkan sama ada mereka akan ditetapkan sebagai entiti berasaskan kaum," katanya.

Beliau berkata, entiti yang ditetapkan perlu mematuhi keperluan kepimpinan, termasuk memastikan pegawai bertanggungjawab mestilah warganegara atau Penduduk Tetap Singapura, dan majoriti anggota badan pentadbiran atau mana-mana individu yang menjalankan fungsi serupa mestilah warganegara Singapura.

RUU RH mengambil rujukan daripada perundangan sedia ada, termasuk Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) yang digubal pada 1990 bagi mengekalkan keharmonian agama.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-2-2025 04:31 AM GMT+8 , Processed in 0.161608 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list