Ibu bapa budak dengan kesan pukul, bakar didakwa abai anak
Oleh Nur Izzati Mohamad - Februari 6, 2025 @ 11:02am [email protected]

Pasangan berusia 35 dan 33 tahun itu mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka di hadapan Hakim Nor Azah Kasran. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan pengabaian terhadap anak lelaki mereka sehingga memerlukan rawatan di sebuah hospital pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pasangan berusia 35 dan 33 tahun itu mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, pemandu van kilang dan operator kilang berkenaan didakwa telah melakukan pengabaian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mana mereka mempunyai pemeliharaan ke atas mangsa.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Taman Sentosa, Nibong Tebal di sini di antara 29 hingga 30 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding , Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan tidak boleh diikat jamin, selain faktor mangsa yang juga anak kandung pasangan itu adalah saksi penting dalam kes terbabit.
Muhammad Rifaie turut memberitahu mahkamah bahawa mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB).
Dalam pada itu, tertuduh lelaki yang juga bapa mangsa mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 2019 dan 2020.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.
Difahamkan, terdapat kesan kecederaan baru dan lama pada mangsa akibat dipukul serta kesan bakar pada badannya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/02/1358006/ibu-bapa-budak-dengan-kesan-pukul-bakar-didakwa-abai-anak
|