|
Edited by Raline at 7-2-2025 04:04 PM
Memiliki keistimewaan boleh melihat makhluk halus bukan alasan untuk pelakon Indonesia Nita Gunawan menolak tawaran membintangi filem seram.
Kata Nita, 34, kelebihan itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil dan perkara itu sama sekali tidak mengganggu rutin serta perjalanan kariernya.
"Saya tidak trauma kerana dari kecil sudah boleh melihat hantu. Dulu saya nampak pocong, genderowo (hantu raya) dan pontianak.
"Biasanya waktu penggambaran, dia cuma duduk di sebelah dan tidak mengganggu saya.
"Saya akan berdoa. Misalnya, saya disini untuk bekerja dan tidak mengganggu dia. Hanya untuk berlakon filem sahaja," katanya.
Nita berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan gala filem Anak Kunti yang berlangsung di TGV, KLCC pada malam Khamis.
Dalam pada itu, Nita turut memberitahu bahawa dia satu-satunya dalam keluarganya yang memiliki keistimewaan boleh melihat makhluk halus itu.
Malah, ibunya juga pernah berusaha mencari jalan menutup hijab berkenaan namun ianya tidak berhasil.
"Dalam keluarga, saya sahaja memiliki keistimewaan untuk melihat benda ini.
"Ibu sudah berusaha untuk menutup hijab saya sejak kecil kerana selalu histeria, tetapi tidak menjadi. Saya hanya mampu berdoa saja," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nita membawakan watak sebagai Wati atau kuntilanak dalam filem Anak Kunti arahan Bambang Drias.
Filem ini mengisahkan Sarah lakonan Gisellma Firmansyah, seorang pelajar madrasah yang juga merupakan anak yatim piatu memilih untuk kembali ke Desa Wonoenggal bagi menyelidik asal-usul keluarganya.
Kepulangannya mencetuskan ketakukan dalam kalangan penduduk apabila muncul kuntilanak yang dipercayai jelmaan ibunya yang meninggal dunia ketika melahirkan anak kembar.
Selain Nita dan Gisellma, filem ini turut dibintangi oleh Abun Sungkar, Jajang C Noer, Iwa K, Wavi Zihan dan Ruth Marini.
Anak Kunti bakal ditayangkan serentak di pawagam Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bermula 20 Februari depan.
Sumber: mStar
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|