Pasca banjir: Kos baik pulih fasiliti sekolah di Sabah, Sarawak dijangka tinggi
Oleh Nur Izzati Mohamad - Februari 8, 2025 @ 3:18pm [email protected]

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Ceria ke Se kolah anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal, hari ini. - Foto NSTP/ Nur Izzati Mohamad
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenalpasti fasiliti sekolah di Sabah dan Sarawak yang terjejas banjir baru-baru ini bagi mendapatkan jumlah nilai kerosakan sebelum kerja baik pulih dapat dilaksanakan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihaknya menjangkakan proses baik pulih itu akan membabitkan kos yang besar berikutan bilangan fasiliti sekolah terjejas adalah banyak termasuk musnah sepenuhnya.
"Banyak tempat sebenarnya kita tidak pernah jangka banjir selama ini, namun berlaku. Dalam hal ini, ada sekolah kita yang memang `total loss' dan sekarang ini kita sedang mengenalpasti keseluruhan premis yang terlibat.
"Begitu juga dengan kos (sedang dihitung). Kita jangka kos memang sangat besar kerana berdasarkan pantauan awal menunjukkan premis terlibat dengan banjir ini sangat banyak.
"Pada masa sama, berbaki lagi seminggu sesi persekolahan baharu akan dibuka, kita perlu segera membuat persiapan untuk membereskan (sekolah-sekolah yang terjejas) supaya persekitaran lebih kondusif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ceria ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa daerah di Sabah dan Sarawak dilanda banjir besar sejak hujung bulan lalu mengakibatkan banyak kawasan ditenggelam air dan merosakan banyak harta benda termasuk sekolah.
Setakat pagi tadi, seramai 695 orang daripada 189 keluarga mash ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah manakala di Sarawak pula 3,921 orang.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sekiranya situasi banjir tidak reda apabila sesi persekolahan baharu dibuka maka pihak sekolah perlu melaksanakan sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
"Bagaimanapun, kita mendoakan supaya cuaca akan bertambah baik dan proses pembersihan sekolah dapat kita laksanakan manakala operasi sekolah berlangsung seperti biasa.
"Kita pun sudah meminta semua JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) bersiap sedia (sekiranya banjir tidak reda) dan mungkin kalau untuk sekolah 'total loss' itu tak sempat untuk kering maka perlu ambil alternatif lain seperti PdPR.
"Hal ini (PdPR) guru-guru kita sudah mempunyai pengalaman dan kita tidak bimbang dalam soal itu," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1358918/pasca-banjir-kos-baik-pulih-fasiliti-sekolah-di-sabah-sarawak
|