Edited by sfhzuraz at 8-2-2025 06:47 PM
Aktiviti restorasi, pemuliharaan karang dibenarkan semula
ROSLINDA HASHIM
08 Februari 2025 04:31pm

Mohamad (kiri) dan Arthur (kanan) menyempurnakan acara simbolik restorasi anak karang.
LANGKAWI - Jabatan Perikanan Malaysia telah mengeluarkan notis penarikan penghentian sementara aktiviti restorasi, pemindahan karang dan sebarang aktiviti sentuhan fizikal dengan karang, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat selepas laporan terkini menunjukkan suhu perairan di pulau-pulau Taman Laut telah kembali kepada purata tahunan normal, membolehkan proses pemulihan semula jadi terumbu karang.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia, aktiviti pemuliharaan dan restorasi karang kini dibenarkan kembali setelah dihentikan sementara sejak 2 Julai lepas berikutan fenomena kelunturan karang melanda perairan negara.
]
Mohamad (dua dari kanan) dan Arthur (kanan) menyampaikan sumbangan alat keselamatan kepada operator pelancongan di Pulau Payar.
“Aktiviti tersebut masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317). Mana-mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti restorasi atau pemindahan karang perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” kata kenyataan tersebut.
Majlis simbolik restorasi karang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sempena lawatan kerja ke Pulau Payar pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak serta Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain.
Lawatan bersama pengurusan tertinggi Kementerian itu diadakan bagi meninjau status terkini pemuliharaan terumbu karang serta perkembangan aktiviti pemuliharaan dan konservasi marin di kawasan Taman Laut.

Taklimat berkaitan pemuliharaan terumbu karang dan konservasi marin di kawasan Taman Laut turut diadakan.
Mohamad turut menyaksikan program penanaman 300 anak karang di Pusat Taman Laut Pulau Payar sebagai usaha konservasi berterusan selain menjadi permulaan bagi menggiatkan semula aktiviti restorasi karang di kawasan Taman Laut selepas dihentikan sementara.
Menurut kenyataan tersebut, penggunaan teknologi Remotely Operated Vehicle (ROV) telah diperkenalkan dalam menjalankan tinjauan awal bagi menilai keadaan ekosistem terumbu karang.
“ROV milik Jabatan Perikanan Malaysia mampu mencerap imej dan video serta mengumpul data persekitaran air seperti suhu dan kedalaman, menjadikannya alat penting dalam pemantauan terumbu karang dan tukun tiruan,” kata kenyataan itu.
Pada majlis sama, Mohamad turut menyempurnakan pelepasan benih gamat sebanyak 120 ekor sebagai langkah pemuliharaan spesies marin berharga ini.
“Benih gamat yang dilepaskan terdiri daripada spesies Stichopus sp atau dikenali sebagai gamat emas, berusia 120 hari dengan berat antara tiga hingga 10 gram dan panjang antara dua hingga 10 sentimeter.
“Benih ini dihasilkan melalui pembenihan di Pusat Penyelidikan Marikultur Langkawi dan menjalani proses pembesaran dalam persekitaran terkawal sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi di Pulau Payar,” kata kenyataan itu.
Jabatan Perikanan Malaysia turut menyalurkan sumbangan alat keselamatan kepada operator pelancongan di Pulau Payar sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka menjaga ekosistem marin.
Ia merangkumi jaket keselamatan, pelampung keselamatan dan alat pemadam api kepada tujuh organisasi iaitu, Scuba Oasis Langkawi, Nudi Dive Centre, NNID Travel & Tours Sdn. Bhd., Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah, FSF Maju Enterprise, Langkawi Island Cruise and Leisure, MyProStay Global serta Tedulous Travel & Tours Sdn. Bhd.
“Lawatan kerja ini merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kelestarian ekosistem marin dan pemuliharaan biodiversiti di perairan negara, khususnya kawasan Taman Laut.
“Jabatan Perikanan Malaysia akan terus memainkan peranan dalam memantau dan mengawal selia aktiviti pemuliharaan dan restorasi terumbu karang bagi menjamin keseimbangan ekosistem laut negara,” kata kenyataan itu lagi.
https://www.sinarharian.com.my/article/711606/berita/nasional/aktiviti-restorasi-pemuliharaan-karang-dibenarkan-semula
|