Penggunaan AI dalam pertanian dapat tingkatkan produktiviti
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Februari 10, 2025 @ 2:58pm[email protected]

Gobind bercakap kepada pemberita pada program Jelajah Malaysia Digital(JMD) @ Kedah di Kedah Aquaculture Complex. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir.
KUBANG PASU: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian mampu meningkatkan produktiviti dan memberikan hasil lebih lumayan kepada usahawan tani pada masa hadapan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata teknologi AI bakal mengubah landskap bidang pertanian, perikanan dan penternakan melalui penggunaan teknologi baharu yang mampu mempercepatkan proses dalam industri berkenaan.
Bagaimanapun jelasnya, terdapat cabaran sebelum semua teknologi berkenaan dapat diadaptasi kepada golongan petani yang memerlukan penerangan dan bimbingan berterusan sebelum mereka dapat melihat hasilnya.
"Kita ada teknologi yang membolehkan industri atau syarikat yang terbabit dalam bidang berkaitan melihat kos perniagaan mereka berkurangan dan produktiviti mereka meningkat selain produk menjadi lebih baik.
"Kewujudan teknologi baharu ini terutama AI memberi impak ke atas semua industri, jadi kita mahu semua teknologi yang wujud ini dapat dibawa bagi membantu industri termasuk usahawan tani meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada program Jelajah Malaysia Digital@Kedah di Kompleks Akuakultur Kedah, Ayer Hitam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, pihaknya menyedari terdapat kekangan modal dalam kalangan usahawan tani menggunakan teknologi AI, namun mereka boleh mendapatkan pelbagai inisiatif yang ditawarkan kerajaan melalui kementerian berkaitan.
Katanya, bagi meringankan beban petani juga, pihak bank turut menawarkan bantuan kewangan pada kadar berpatutan bagi mereka mendapatkan modal awal dalam melaksanakan transformasi dalam bidang pertanian.
"Kita perlu lihat secara keseluruhan apa nilai yang akan dibawa melalui penggunaan teknologi baharu ini, kita dapat meningkatkan hasil dan mengurang kos pertanian yang akhirnya akan memberi pelbagai faedah kepada industri berkenaan.
"Disebabkan itu Kementerian Digital akan berusaha membawa teknologi yang dapat membantu petani, penternak dan nelayan kepada mereka melalui pendedahan berterusan agar ia dapat diterapkan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1359642/penggunaan-ai-dalam-pertanian-dapat-tingkatkan-produktiviti
|