Kakitangan PDC bakal terima bonus maksimum lima bulan gaji
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
10 Februari 2025 03:07pm

Aziz
BAYAN LEPAS - Seramai 396 kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan menerima bonus minimum sebulan sehingga lima bulan gaji bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar berkata, pembayaran itu akan dibuat pada bulan ini namun tarikh belum ditentukan lagi.
Menurutnya, pemberian bonus itu adalah yang tertinggi dalam sejarah iaitu sejak PDC ditubuhkan pada 1972.
"Pemberian bonus ini adalah berdasarkan prestasi pekerja yang mana, hanya 10 peratus daripada 396 kakitangan akan menerima bonus maksimum iaitu lima hingga enam bulan gaji.
"Ada yang akan terima dua, tiga atau empat bulan (bonus). Ikut prestasi mereka. Bukan semua dapat sama rata.
"Bagi mereka yang mempunyai prestasi rendah, mereka akan menerima pemberian minimum iaitu sebulan gaji," katanya pada sidang media di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PDC di sini pada Isnin.
Tambah beliau, pemberian tertinggi bonus itu adalah berdasarkan keuntungan yang dicatatkan PDC pada tahun lalu iaitu RM500 juta.
"Setiap tahun ada bonus namun ia berdasarkan keuntungan syarikat serta prestasi kakitangan.
"Disebabkan tahun lalu, kita mencatatkan keuntungan yang tinggi, maka pemberian bonus juga tinggi kepada mereka yang mempunyai prestasi cemerlang," ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/711896/edisi/utara/kakitangan-pdc-bakal-terima-bonus-maksimum-lima-bulan-gaji
|