CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 39662|Reply: 0

[Kedah] Kejadian 'laut terbelah' di Langkawi tarik lebih 3,500 pengunjung

[Copy link]
Post time 1-3-2025 11:23 AM | Show all posts |Read mode
Kejadian 'laut terbelah' di Langkawi tarik lebih 3,500 pengunjung

Oleh Hamzah Osman - Mac 1, 2025 @ 11:08am[email protected]





Pengunjung tidak melepaskan peluang berjalan atas beting pasir sejauh 600 meter susulan fenomena air surut habis menghubungkanPantai Tanjung Rhu dengan Pulau Kelam Baya dan Pulang Chabang di Langkawi. NSTP/HAMZAH OSMAN





LANGKAWI: Lebih 3,500 pengunjung mengambil peluang berjalan di atas beting pasir sepanjang 600 meter menghubungkan Pantai Tanjung Rhu ke Pulau Kelam Baya dan Pulau Chabang di sini susulan fenomena air surut habis pagi ini.

Fenomena unik yang lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai 'Laut Terbelah' selama satu jam mulai 6.45 pagi itu muncul sekali dalam setahun selepas air laut di kawasan itu dilaporkan surut habis.

Tinjauan mendapati orang ramai teruja dapat menjejak kaki ke dua pulau itu, pada masa sama berpeluang melihat dari dekat habitat pelbagai hidupan marin kerana kedalaman air kawasan itu mencecah 2.5 meter ketika air pasang.

Pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, 60, berkata antara hidupan marin ditemui pagi ini termasuk obor-obor, sotong katak, tapak sulaiman, ikan sebelah, gamat, umpun-umpun, siput kon dan kuda laut.

"Air surut bermula pukul 6.45 pagi tadi dan paras air laut mula meningkat kira-kira sejam kemudian, sebelum orang ramai diarahkan kembali ke pantai bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Pengunjung dapat berjalan kaki di atas beting pasir sejauh kira-kira 600 meter sehingga Pulau Kelam Baya dan Pulau Chabang, ia menjadi pengalaman berharga dan sangat menarik," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang pengunjung, Mimi Ayuni Mohd Salleh, 31, dari Mantin, Negeri sembilan, berkata dia bersama suami dan dua anak tiba awal di kawasan itu bagi melihat kejadian yang jarang berlaku untuk dijadikan kenangan.

"Memang unik kerana ia boleh digambarkan seperti laut terbelah sehingga menampakkan beting pasir menghubungkan dua pulau sejauh kira-kira 600 meter dari pantai," katanya juga seorang kakitangan swasta.

Penduduk tempatan, Mat Zain Osman, 45, berkata kebiasaannya kawasan itu sunyi dan keadaan meriah hanya berlaku setahun sekali apabila muncul beting pasir menghubungkan dua pulau berdekatan dengan pantai.

"Ketika air pasang memang tak boleh sampai sebab air dalam, kecuali pakai perahu atau bot, tapi menerusi kejadian unik ini saya dan keluarga dapat berjalan kaki ke Pulau Kelam Baya dan Chabang," katanya.

Turut meninjau fenomena air surut habis itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin, Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.

Mengulas perkara itu, Mohd Salleh berkata, keunikan fenomena yang jarang berlaku dan menarik perhatian ramai itu mula diketengahkan sebagai produk pelancongan di pulau legenda itu sejak empat tahun lalu.

"Dianggarkan 3,500 pengunjung terdiri penduduk tempatan dan pelancong tiba di sini seawal jam 5.30 pagi semata-mata bagi melihat sendiri fenomena air surut habis dan berjalan atas beting pasir sejauh 600m," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1367214/kejadian-laut-terbelah-di-langkawi-tarik-lebih-3500-pengunjung





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-3-2025 11:26 PM GMT+8 , Processed in 0.046210 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list