FAZLI Mohamad Salleh. Bernama
Johor Bahru: Kerajaan negeri akan memberi fokus kepada tiga lagi projek sakit untuk diselesaikan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, tiga projek sakit itu adalah di Kampung Sawah, Pontian; Serom, Muar dan Gelang Patah di sini.
"Ada tiga lagi projek sakit di bawah peruntukan negeri yang mana jangka tahun ini akan siap, termasuk pembinaan jambatan di Serom dan Gelang Patah.
"Ketiga-tiga projek sakit ini membabitkan kos yang dianggarkan sebanyak RM25 juta," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan tapak ke projek sakit iaitu Projek Naik Taraf Jalan di Taman Kempas Utama di sini, baru-baru ini.
Mohamad Fazli berkata, sebelum ini kerajaan negeri memutuskan tidak akan melaksanakan projek baharu dan hanya akan memberi fokus kepada projek sedia ada yang sudah dikategorikan sebagai projek sakit.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri kini akan mula melaksanakan projek baharu memandangkan projek sakit yang direkodkan kini hanya tinggal tiga sahaja.
Beliau berkata, projek baharu yang akan dimulakan tahun ini adalah pembinaan jambatan di Simpang Renggam.
"Projek baharu di Simpang Renggam ini serampang dua mata kerana bukan sahaja untuk lancarkan aliran trafik, tetapi juga kita hendak pastikan aliran air sungai lancar.
"Ada beberapa lagi jambatan dan jalan yang perlu dinaik taraf.
"Jadi, kita ambil langkah yang lebih proaktif, supaya projek baharu nanti tidak ada lagi yang menjadi projek sakit," katanya.
|